Mencuri di Masjid Amalan “Mulia”?

Anda rajin pergi ke masjid? Atau soalan paling jujur, anda pernah pergi ke masjid?

Ya? Alhamdulillah, bagus!

Berapa kali sehari? Aaah, seminggu sekali saja (Solat Jumaat)? Ish ish, rajin-rajin la sikit pergi masjid, solat berjemaah kat situ, kan lebih baik daripada solat sorang-sorang kat rumah?

Apa? Setahun sekali (Hari Raya)? Tak pergi langsung (tak Solat Jumaat)? Tak solat langsung? Astaghfirullahalazim!

Bagi yang pergi ke masjid tu, apa yang selalu anda buat di sana? Solat? Semestinya kan? Menghadiri kuliah agama? Mengaji kitab? Ya, itu antara aktiviti yang kita boleh buat kat situ. Selain daripada mengaji secara online misalnya menerusi laman portal Al-Muttaqin TV atau yang seumpamanya ka), eloklah meluangkan masa pergi masjid. Dapat pahala iktikaf sekali.

Apa lagi aktiviti orang buat di masjid? Bersembang? Bersosial? Merokok?! Mengumpat!? Hahah, yang itu pun ada jugak, biasanya orang tua-tua yang “kureng” kesedaran siviknya. Waktu orang mengutip pahala beriktikaf dalam masjid, mendengar kuliah atau mengaji kitab (sesudah solat, biasanya antara Maghrib dan Isyak), ada segolongan penghadir masjid ni akan melepak di luar dan bersembang merapu sambil merokok. Macam mana hukumnya tu ya? Kan merokok tu hukumnya… ermm… faham-faham sendirilah ya?

Tapi apapun, aku rasa ianya jauh lebih baik dan bagus la daripada golongan yang langsung tak pergi ke masjid tu. Nak kata sibuk, dah pencen pun. Rumah pun di belakang masjid, tapi tak pergi jugak. Yang pergi dan imarahkan masjid dah dapat pahala dah (biarpun MUNGKIN ditolak dengan dosa mengumpat, merokok, heheh…), tapi yang tak pergi langsung tu dah sah tak dapat sahamnya.

Tapi ada juga golongan yang suka mencuri di masjid. Apakah hukumnya mencuri di rumah Allah ni? Dapat pahala ibadahkah? Hahah, faham-faham sendirilah jugak ya? Dan agak-agak apa yang selalu mereka curi, atau maksud aku, apakah yang selalu anda kecurian/kehilangan setiap kali anda pergi ke masjid?

“KASUT!”

Tidak syak lagi, pasti ramai yang akan menjawab dengan jawapan ini. Agak sayang kan, dalam banyak-banyak pakaian yang kita boleh pakai dengan cantik dan berbelanja lebih untuk digunakan untuk bertemu Allah, kasut merupakan pakaian yang paling ramai orang tak berani nak bawa/pakai yang mahal-mahal. Sehinggakan kalaupun tak dicuri pun, tapi kalau bawa yang mahal-mahal, tuan kasut tu mesti tak khusyuk solatnya memikirkan “keselamatan” kasutnya. Atau kalau yang tak bawa yang mahal pun, risau jugak, sebab kalau kasutnya hilang, bagaimana dia nak balik ke rumah dengan selamat keadaan kakinya kan? Lainlah kalau yang memandu kereta, bagi yang bermotosikal, berbasikal, apa lagi berjalan kaki, kasihan la mereka ni nak balik berkaki ayam. Iya lah, takkan dia nak balas kasut orang pulak kan?

Aku? Hahah, jangan ditanya berapa kali dah aku kehilangan kasut (atau mulai saat ini, aku akan menggelarnya “sandal” atau “selipar”). Ada yang marahkan aku, dengan berkata, “Lain kali jangan pakai kasut mahal-mahal, kan dah hilang! Pakai yang murah-murah/lama-lama/buruk-buruk sudah lah!”. Masalahnya, bila aku bawa yang buruk pun, kalau nak hilang tu, hilang jugak! Dah habis semua kasut lama aku disumbangkan kepada jemaah yang “baik hati” mengambilnya daripada aku. Tinggallah yang paling baharu yang aku miliki, dan bila itu pun diambil orang juga, maka kenalah beli yang baharu pulak. Yang baharu tu pun, belum sempat dia nak jadi lama dan buruk, pun diambil orang jugak, jadi macam mana lagi nak buat kan?

Dah bermacam jugak cara aku buat untuk mengelakkan diri daripada berlakunya tragedi ni. Menanda pada selipar tu dah ramai orang buat, maka aku cuba pendekatan lain. Ada ketikanya, aku pisahkan kedua-dua belah selipar aku tu, sebelah di hujung sana tangga masjid dan sebelah lagi di hujung sini. Alhamdulillah, berkesan. Tapi malangnya, kalau ada pulak hamba Allah yang datang kemudian daripada kita, memakai selipar jenis yang sama, letak di tempat berhampiran dengan salah sebelah daripada selipar kita, lepas tu dia keluar dulu, apakah kebarangkalian yang dia akan tersarung selipar kita sebelah? Yeaaa… tak mengapa kalau seliparnya elok, tapi biasanya seliparnya lebih buruk daripada yang kita miliki.

Benda ni jugak berlaku kalau kita letak dua-dua belah di tempat sama. Adakalanya mungkin niat si pengambil tu nak mencuri, tapi rupa-rupanya memang ada yang jenis tak peka, atau saraf tapak kakinya keras kot, dia main sarung saja selipar orang yang disangkakan seliparnya. Memang baguih sangat la kalau dia dapat yang jauh lebih elok daripada yang dia punya kan? Maka atas sebab tu, kita kadang-kadang bersangka baik pada orang yang tak sengaja macam itu.

Tapi banyak kali berlaku, memang betul-betul selipar kita diambil orang dan tiada sepasang pun selipar yang tinggal tu mirip selipar kita, membawa kepada kemungkinan selipar kita betul-betul dicuri. Malah aku pernah kehilangan selipar dari rak yang disediakan di tepi tangga. Mustahillah ada yang secara “tak sengaja” terambil selipar dari rak menyangka itu seliparnya, sedangkan dia mesti tahu kat mana dia letak selipar asalnya (yang di atas lantai mungkin dah disepak oleh orang lain dan tercampak lalu berselerak). Ada pula yang mencadangkan agar kita menunggu sehingga habis semua jemaah keluar dari masjid, dan mengambil sahaja selipar yang tertinggal, dengan keyakinan bahawa itulah selipar milik hamba Allah yang mengambil selipar kita tadi. Tapi tidakkah tindakan kita itu sama saja dengan tindakannya, iaitu mengambil hak orang lain tanpa izin (bahasa “lembut” bagi mencuri)?

Apapun, itu bab kasut, yang memang sangat normal untuk kita kehilangannya di masjid. Tapi selain daripada kasut, apakah ada di kalangan anda yang kehilangan barang-barang lain? Aku pasti mesti ada. Mungkin beg? Sebab pemilik beg tu tercuai sikit dan meninggalkannya di dalam masjid sementara dia pergi ke tandas atau berwuduk?

Tapi aku nak spesifikkan sikit la kepada penunggang motosikal. Pernah anda kehilangan apa-apa barangan ketika di masjid? Helmet? Mungkin jarang, sebab yang pergi ke masjid tu biasanya golongan yang tidak memilik helmet yang mahal-mahal (heheh… ooops!) ataupun mereka tu tak pernah pergi ke masjid memakai helmet (ooops!).

Walau bagaimanpun, ingin aku berkongsikan suatu peristiwa yang aku takkan lupa sampai bila-bila. Ini berlaku di sebuah masjid di sebuah daerah bandar di sebuah negeri di utara Semenanjung. Malam. Terdapat sebuah program pengajian yang dianjurkan oleh masjid berkenaan, di mana mereka menjemput seorang ulama terkenal dari negara seberang. Beliau ni memang selalu datang sini (dan aku pernah tulis pasal beliau dalam entri-entri yang lalu, tapi sebab aku nak anonimuskan lokasi dan manusia yang terlibat, maka aku tak tulislah namanya di sini, heheh). Beliau mengajar di masjid itu selama lima hari berturut-turut (Ahad sampai Jumaat), setiap pagi dan malam (lepas Maghrib dan Isyak).

Aku pun teringin la nak sertai dan tak mahu lepaskan peluang, maka aku pun ikutlah menghadirinya. Malam pertama aku pergi, dan aku pun tak ada la pulak kitab yang diajarkannya. Mujur di ruang legar masjid tu ada dijual, khusus untuk yang tak pernah ada, di samping dijual juga buku-buku agama lain. Duitnya digunakan untuk disumbangkan kepada murid-murid sekolah agama rakyat yang turut mengikuti pengajian ini, bahkan digalakkan juga bagi sesiapa yang sudi untuk sponsor dan belikan kitab yang diajar itu kepada murid-murid berkenaan, sebab merekapun tiada bukunya dan apatah lagi wang.

Aku pun belilah buku kitab yang diajarkan itu, beserta dua buah lagi buku judul lain yang menarik minat aku. Memandangkan aku tidak memerlukan dua buah buku itu untuk kuliah berkenaan, maka aku pun simpanlah kedua-duanya di raga motosikalku. Yang dibawa masuk tu, yang sebuah tu saja la.

Habis selesai kelas untuk malam itu, maka dengan gembiranya aku menuju ke motosikalku, sebab aku tak sabar nak pulang dan membelek salah sebuah daripada dua buah buku yang kusimpan di raga tadi, sebab buku tu memang aku dah lama dah cari. Gembira aku bertukar menjadi terkejut bila mendapati raga aku tu kulihat dari jauh macam kosong, kecuali yang ada cuma helmet merahku. Aik, biaq betoi?

Aku angkat helmet dan perhati betul-betul kat raga tu, mana la tau aku silap nampak, malam pulak kan. Eh, memang tak ada buku-buku tu. Macam orang tak berapa betoi, aku jenguk ke bawah motosikal aku, kot-kot terjatuh, tak ada jugak. Dengan niat buruk sangkanya, aku menjeling ke raga beberapa buah motosikal sebelah aku, mana tau kot-kot tadi aku tersilap bubuh kat moto depa ka (atau memang depa ambik), pun tak ada. Mata aku meliar mengusha beberapa orang yang dah keluar dari masjid, memerhati pada apa-apa saja yang mereka kelek di bawah ketiak mereka, pun tak ada rupa paras buku-buku yang aku beli (majoritinya cuma ada buku yang digunakan untuk kuliah tadi).

Macam orang yang tak berapa betoi, aku secara spontan menelefon adik aku, menceritakan situasi yang berlaku dan bertanyakan pendapatnya. Setelah beberapa ketika, barulah aku menerima hakikat, memang sahlah buku-buku aku dicuri! Yep, buku agama, dicuri daripada raga motosikal aku, yang berada di luar masjid. Sebelum ini aku memang ada kotak berkunci yang aku pasang kat belakang motosikal aku, tapi nak jadi cerita, kotak tu aku buang sementara sebab tiada keperluan. Kalau aku simpan dan kunci dalam tu, tak hilang la buku-buku aku, heheh!

Tapi itulah dia, pengalaman aku meninggalkan (atau selalunya tak sengaja TERtinggal) macam-macam jugak benda berharga kat raga motosikal ni, dan di merata-rata tempat jugak. Helmet (murah saja, sebab tu tak pernah hilang kot, orang tak minat, tadak harga), beg, buku, fail, kadang-kadang kunci motosikal pun aku pernah dan banyak kali tertinggal di lubang kuncinya, tapi Alhamdulillah, belum pernah hilang. Ini pertama kali benda yang aku tinggal kat motosikal aku yang kena curi. Buku agama pulak tu! Di masjid pulak tu!

Agaknya kenapalah orang tu ambil buku-buku aku tu? Tolong simpankan ka? Sebab nampak aku tinggal kat moto, jadi takut dicuri, maka dia tolong ambil dan simpan? Tapi tak ada pula sesiapa yang pulangkan kat aku, sedangkan aku memang tunggu kot-kot ada hamba Allah yang mai kat aku dan kata “Nah, ni buku hang, aku tolong simpan takut hilang atau kena hujan”. Atau mungkin buku aku “dirampas” oleh pihak tertentu sebab tajuknya agak kontroversi? Atau dia menyangka aku mencuri daripada peniaga buku, lalu diambilnya dan dikembalikan kepada penjual? Heh, macam mengarut pulak teoriku ini!

Akhirnya kesimpulan aku tetap jugak mengatakan, orang itu mengambilnya untuk dirinya. Mengambil untuk manfaatnya barangkali? Buku agama kan? Mesti dapat pahala membacanya, menambah ilmu lagi berkat? Tapi berkatkah ilmunya kalau diambil daripada barang yang diambil daripada orang lain tanpa izin (mencuri)? Fikir-fikirlah sendiri…

Namun aku redha sebab mungkin ini untuk mengajarku supaya MEMBACA (dan bukan menyimpan sahaja) setiap buku yang aku beli. Adui, banyaknya buku-buku yang aku beli sejak… heheh… lima tahun yang lalu… yang masih menunggu giliran untuk dibaca, kekekek…

Walau bagaimanapun, akibat daripada peristiwa ini, aku pun jadi agak tawar hati nak pergi secara zahir ke masjid itu pada malam berikutnya (pi mai pun masjid tu bukan dalam qariah aku), tapi mujurlah ada siaran langsung ditayangkan di laman sesawang portal Al-Muttaqin TV (yeah, kita kasi promosi sama ini laman sesawang, benda baik patut dikongsi, maka layarilah laman itu untuk mengikuti pengajian-pengajian secara dalam talian, tapi tetap tak sama la dengan menadah kitab di hadapan guru tu sendiri, tapi sekurangnya ada ikhtiar kan?). Hehe, lagi mantap, aku siap mengirimkan soalan menerusi ruangan chat yang disediakan dalam sesi sidang video tu, dan dihantar dan dijawab terus oleh ulama yang mengajar tu (aku tanya pasal hukum mengaji pakai kitab curi, heheh…). Oh ya, selain siaran secara langsung (biasanya ada jadual yang boleh dirujuk), laman sesawang ini juga mempunyai koleksi kuliah dan pengajian, baik audio mahupun video, oleh tokoh-tokoh agama terkenal, yang Malaysia, yang Indonesia, yang Arab pun ada. Memang bagus la laman sesawang yang dibangunkan oleh Unit Dakwah dan ICT Yayasan Islam Negeri Kedah ni, pakat-pakatlah melawat dan menyokongnya yea?

Kesimpulannya, janganlah mencuri kat mana-mana pun, tambah-tambah kat masjid la. Kesian orang yang pergi masjid tu, dia niat nak beribadat, tapi sebab kecurian, boleh jadi dia “terberhenti” daripada menghadiri masjid tu. Yang mencuri itulah puncanya, dapat dosa mencuri sepasal, dapat pulak “saham” sebab orang tu jadi tak mau pergi masjid disebabkan pencuri tu membantutkan kesungguhan dia. Dan marilah pakat-pakat meramaikan bilangan orang yang pergi masjid. 8)

One thought on “Mencuri di Masjid Amalan “Mulia”?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s