Cuti Panjang 2 – Dilema Kabel Telefon…

Dalam entri aku yang lalu, aku dah serba sedikit menerangkan mengenai “Fasa Pertama” daripada “Cuti Panjang” aku, yakni mengenai sebab-musabab aku lama “menghilangkan diri” daripada berblog sebegitu lama.

Secara dasarnya, aku cuma nak bercuti sebulan saja, iaitu sepanjang bulan Ramadhan tu. Walau bagaimanapun, seminggu sebelum Raya, suatu “tragedi” telah menimpa aku…

Tanggal 24 Ramadhan 1429H, bersamaan 24 September 2008, ketika aku bangun bersahur, aku mendapati tidak semua lampu di modem aku menyala. Aku mengesyaki, sesuatu yang sememangnya sudahpun kerap berlaku semenjak tahun 2008 ini, berlaku lagi sekali pada hari berkenaan.

Dipendekkan cerita, kabel telefon di kawasan rumahku kena curi. Sekali lagi. Sekitar tengah malam buta/awal pagi buta. Yep, yang anda dok tengok/dengar di berita mengenai kes kecurian kabel telefon tu, akulah antara mangsanya, heheh! Kali ni lagi teruk daripada selalu, sebab sampai TUJUH tiang dirembat kabelnya. Lorong masuk ke tempat kawasan perumahan aku ni, memang pada bahagian awalnya tiada rumah di kiri kanan lorong tu. Tiang-tiang di situlah “port” tetap yang dirembat sang pencuri, sebab bila malam gelap, tiada rumah melainkan belukar, maka siapa yang akan perasan kehadiran dan aktiviti mereka kan?

Macam mana aku tau kehilangan kabel telefon pada saat aku bangun sahur? Senang saja. Modem aku buka 24 jam. Kalau lampu tertentu di modem tu tak bernyala, aku angkat gagang telefon rumah tak berbunyi, dan bila aku buat panggilan masuk dari telefon bimbit aku ke telefon rumah dan mendapati panggilan itu berjaya masuk TAPI tak telefon rumah tak berdering, petandanya kabel telefon kena curilah tu.

Biarpun dah banyak kali kes ni berlaku (bermula tahun ini sahaja tau!), tapi inilah kali pertama kami “offline” daripada telefon dan internet selama hampir dua minggu lamanya. Bahkan aku berhari raya tanpa internet! Tak dapatlah nak hantar atau balas e-kad raya ka, e-mel raya ka, testimonial Friendster ka, semua tu tak terbuat tahun ini. Apa lagi nak buat entri khas untuk Hari Raya!

Kenapa lama sangat nak diambil tindakan? Pertama: Cuti Raya… biasalah beb! Kedua, dan ini spekulasi saja: TM dah malas nak perbaiki. Kalau di kampung, memang pemandangan normal kalau ada tiang telefon yang “dogol”. Dalam ertikata lain, memang TM takkan ganti kabel di situ. Macam bagi percuma saja pada sang penyangak pencuri kabel tu, buat apa kan? Dan sebab ketiga tapi yang paling utama: Pihak TM kat tempat aku dah kehabisan kabel. Kena order baru. Agaknya itu kot yang makan masa lama sikit tu.

Alternatifnya, TM menyediakan satu perkhidmatan telefon wayarles, dan perkhidmatan ini ditawarkan kepada “mangsa-mangsa” kecurian kabel telefon yang tak dapat diselamatkan atas faktor-faktor logistik (tempat terpencil, senang dicuri semula) dan kewangan (berapa juta ringgit bazir untuk menyenangkan pencuri besi?).

Bagusnya perkhidmatan ini, aku difahamkan, selain daripada berfungsi seperti telefon rumah biasa (cuma bezanya, ianya tidak bergantung kepada kabel telefon di tiang tu), kita juga boleh bawak telefon ini ke mana-mana yang kita suka. Kita tetap boleh terima panggilan walau di mana pun kita bawa telefon ini, tetapi untuk buat panggilan keluar, ianya hanya tertakluk di sekitar daerah yang kita diami/daftar sahaja. Internet pun boleh main, tapi sekadar perkhidmatan dial-up 1515 saja.

Bila difikir balik, ini dah macam pakai telefon bimbit, bahkan penggunaan telefon bimbit tu sendiri lebih banyak fungsi tambahan daripada perkhidmatan telefon ni (sebab boleh pakai di mana saja… tempat yang ada liputan la, hehe!). Dengan kata lain, orang kita zaman sekarang ni sebetulnya KURANG memerlukan talian tetap di rumah sebab masing-masing dah ada telefon bimbit. Satu keluarga lima beranak contohnya, dari bapak sampai ke anak bongsu, semua ada nombor masing-masing.

Tapi ada satu sebab kenapa aku perlu juga talian tetap di rumah: STREAMYX! Di sini, tak ada cara lain nak berStreamyx melainkan menerusi talian tetap. Mana boleh bayar tiap-tiap bulan harga tetap, tapi tak boleh nak berStreamyx sebab kabel kena curi. Sudah la kelajuannya pun tak seberapa, tapi lebih baik banyak la daripada tak ada langsung. Maka, sesudah beberapa kali menelefon, malah pergi sendiri ke TMPoint dan beberapa kali berjumpa dengan mereka yang bertanggungjawab, siap “mengugut” akan menamatkan langganan Streamyx kami, maka akhirnya dipasang jua kabel baru pada 13 Oktober 2008 (dah dua minggu berhari raya dah!).

Malangnya, baru tiga hari sempat berinternet semula, dah kena curi lagi, kali ni di tiang lain pula, iaitu tiang-tiang yang berikutnya bersebelahan tujuh tiang yang dirembatnya sebelum ini. Oh, baiknya hati tak curi kabel baru, sebaliknya pi curi kabel lain. Kali ni tiang-tiang yang dicuri bersambung sehinggalah ke depan rumah orang. Wah, makin berani!

Kami dengan tebal muka menelefon dan bertemu lagi dengan pihak TM. Mereka pun menggeleng kepala. Selain menyangkut kabel di tiang, kabel telefon juga boleh ditanam, tapi itu mungkin sukar sikit nak dibuat. Iyalah, nak kena korek dan tanam, dan nanti “berserabut” pulak dengan Jabatan Air, sebab paip air pun ditanam jugak.

Solusinya, mereka sambung juga kabel, tapi aku tengok saiznya lebih kecil dari tiang yang lain (yang masih BELUM dicuri). Rupanya mereka hanya menyambungkan ke beberapa buah rumah sahaja (termasuk rumah aku), sebab rumah kami ni pakai Internet. Rumah lain yang tak pakai internet, dibekalkan dengan telefon tanpa wayar yang aku sebut tadi.

Maka, buat masa ini, “selamat” juga kawasan kami ni dari kecurian kabel. Iyalah, dua-tiga urat kabel saja yang ada di tiang, pencuri pun tak tergamak nak rembat, sebab berapa duit saja mereka boleh jual dengan “besi” pada kabel yang sebanyak itu? Hehe, kecurian kabel ni cuma salah satu saja daripada beberapa kebejatan sosial di kawasan perumahan aku ni. Kalau nak dihimpun kesemua “cerita-cerita” mengenai penduduk sini, boleh buat siri DESPERATE HOUSEWIVES versi kami sendiri, hah!

Tapi itulah dia, aku rasa kecurian kabel ni, serta penggantian yang kerap ini, MUNGKIN memberi kesan kepada potensi/kualiti kelajuan Internet di rumah aku ini, sebab di situ sudah berlaku kerosakan. Atau itulah yang diungkapkan oleh operator talian 100 yang aku pernah dail untuk kompelin masalah internet. Entahlah, aku pun tak paham, boleh jadi dia auta aku saja, nak lepas diri, heh! Lagipula, masalah ini, yang dijanjikan akan diselesaikan dalam masa dua hari bekerja, rupanya masih lagi tak diselesaikan biarpun dah lebih DUA MINGGU BEKERJA dari tarikh aku telefon.

Aaa… masalah apakah itu? Rasanya ini aku kena bagi bersambung dululah yea?

Bersambung (lagi?!)

2 thoughts on “Cuti Panjang 2 – Dilema Kabel Telefon…

  1. Pingback: Cuti Panjang 1 - Ramadhan yang lalu… « Saladin Convoy

  2. Pingback: Cuti Panjang 3 - Balada Internet dan Komputerku… « Saladin Convoy

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s