Konsert KARNIVAL JOM PROTES 678

Sebetulnya aku tak pergi pun ke karnival PROTES. Selain daripada tak berminat, sebab paling utama ialah aku MEMANG tiada di sekitar situ dan tiada keupayaan untuk ke situ. Tapi sebab berlaku suatu insiden yang menyebabkan ramai orang di alam maya ini memperkatakannya, maka aku pun nak tumpang sekaki jugak la.

Biarpun ada jiwa dan keinginan untuk memprotes, tapi aku tetap tak suka berhimpun beramai-ramai untuk berdemo. Untuk ke konsert ka, karnival ka, ceramah umum (di tempat terbuka) ka, memang aku tak berminat nak sertai. Ini disebabkan aku memang tak suka ke tempat orang ramai berkumpul. Aku memang tak suka “beramai” la, senang cerita.

Tapi “insiden” itu, membuatkan aku tertarik nak tulis juga entri ini.

Seperti yang diketahui, upacara ini sepatutnya merupakan sejenis protes di jalanan. Memang sejak akhir ini, budaya yang dijolok oleh RTM pra-PRU12 sebagai “ini bukan budaya kita” ini telah menjadi “budaya kita”, apalagi di negeri tertentu, pihak yang mengatakan budaya itu bukan budaya merekapun turut membudayakan budaya ini.

Tapi kalau buat di jalan, polis mesti tak bagi. Bila polis tak bagi, mula la nak buat sekatan jalan raya, suruh bubar dan sembur kalau tak bubar. Lepas tu jalanraya jadi sesak dan akan bertukar jadi “pesta air dan gas”. Heh!

Oleh yang demikian, dah tak jadi buat di jalan, kenalah ubah lokasi. Ubah ke sana, ubah ke sini, ubah tarikh, akhirnya buat di stadium sebagai lokasinya. Tarikh dia pun cantik, 6 Julai 2008 yang boleh diringkas jadi 678. Kalau dibuat pada 8 Ogos 2008, boleh diringkas jadi 888! Itu lagi banyak “ong” maa!

Bila buat di stadium, aku terbayang satu benda: Karnival. Karnival Jom Heboh pun buat di tempat sebegitu. Karnival JOM PROTES? Hmm… bunyi komersilkan?

Bila jadi insiden tu, maka aku pun cari la laman berita yang melaporkannya. Ada jual-jual barang! Memang KARNIVAL! Barang yang “kemerahan” semuanya. Lepas tu ada kes artis buat sesuatu lepas tu kena baling botol. Wah, menarik!

Cari la videonya. Ada! Tapi malas la nak paut di sini, cari sendiri la. Tengok la video tu, dan ternampak apa yang vokalis kugiran tu buat. Dia buat ala seorang bekas penyanyi nasyid tu buat! Ala, bekas penyanyi nasyid yang kini berambut panjang, nyanyi lagu rock, dan menampakkan simbol \S/ di baju T (dan baju kulit asli yakni badannya!) tu! Ha, dia melon…kan sedikit seluarnya. Kalau dalam kalangan kawan aku dulu, ada sorang mamat tu perangai camtu. Kami panggil dia “Mat Lon”, hahah! So, mamat vokalis ni pun sejenis “Mat Lon” juga la kot!

Alkisah, dia nyanyi satu lagu, baek punya tajuk. Tak ingat tajuk penuh, tapi ada kalimah “JILAT”. Bila sampai pada bahagian lirik tertentu, sambil mengajak orang “menjilat”, dia menunjukkan tempat yang patut dijilat itu, iaitu pada bahagian belakang dan sedikit ke bawah pinggangnya, sambil melakukan aksi “lon”. Sepatutnya perkataan “jilat” itu bukanlah dimaksudkan secara literal, melainkan kiasan semata, tapi aksinya tu memang literal. Maka terlihatlah seluar di dalam seluarnya.

Lepas tu, video tu pun terus tunjuk babak kemarahan orang ramai. Baling botol, menjerit. Yang video tu tak tunjuk, membelasah. Wah, di situ, pada waktu itu, tak ada pulak polis, tapi berlaku juga keganasan?

Tapi aku macam kasihan la. Bukan pada penyanyi tu, sebaliknya pada yang marah. Nampak macam mereka tu “tertipu”. Khabarnya pelbagai usia, yang tua pun ada, sanggup datang dari jauh, dengan semangat memprotes yang membara. Iya la, harga minyak naik, mesti la kita marah. Orang ajak protes, mesti kita mau sertai. Datanglah mereka, dari jauh tu, dan bukannya murah memandangkan harga minyak pun mahal, dengan tidak menyangka begini rupanya salah satu pengisiannya. Tipah tertipu lagi!

Bila dilaporkan, ramailah orang di alam maya berkomentar. Satu pihak kata, “kita sudah tertipu”. Satu pihak lagi kata “mereka yang tertipu kononnya tu, ekstrim sangat la”. Satu pihak lagi kata “ni ada pengintip yang provokasi ni”. Kot mana pun, ada satu pihak lain yang tersenyum melihat. Baru seratus hari lebih sikit, dah ada kelemahan untuk dieksploit nampak gayanya!

Aku pulak nampak ada hikmah di sebaliknya. Mari kita lihat pada kugiran yang dijemput yang mencetus revolusi reformasi kontroversi ini. Kita lihat pada nama kumpulan itu. Dia menamakan dengan dua perkataan di dalam Bahasa Inggeris. Apabila diterjemahkan, kumpulan itu bernama “Tahi Karburetor”.

Wah, hinanya rupanya mereka meletakkan diri mereka, sampai sanggup menamakan diri mereka dengan nama itu! Jadi tak hairanlah kalau mereka menerima layanan sehina itu. Dah itu yang mereka mahu kan? Bukan mahu secara langsung, tapi dari segi penamaan, itu macam meminta atau berdoa agar dilayan sepertimana tahap nama mereka itu la kot, kan? Maka, tak hairanlah mereka dilayan seperti, err… “sampah” sebaik saja membuat persembahan yang menaikkan kemarahan. Kiranya, layanan selayak nama la tu.

Lepas tu, kita lihat pada “aktiviti” yang disarankan. Menjilat? Jadi ini karnival apa? Karnival 3J? Karnival JOM JILAT JU… err… tak sanggup nak eja! Aku tak hairan la orang yang marah tu, marah. Bercanggahan terus dengan semangat dan pendirian mereka. Seperti yang mereka akui, silap crowd la.

Lepas itu, ada yang berkata “janganlah salahkan kugiran itu sebab upacara yang kalian marahkan itu memang sebahagian daripada persembahan mereka”. Ohoo, jadi kita kenalah hormat “upacara” dalam persembahan mereka itu ya? Apakah itu suatu “tuntutan amalan” mereka yang wajib? Hmm…

Secara jujur, aku memang tak suka pemuzik bawah tanah ni (lagu bermesej konon, kalau bingit nyanyiannya, siapa yang boeh dengar dan hayati mesejnya tu?). Memang bercanggah dengan prinsip hidup aku. Aku juga tak suka fahaman sosialis. Tapi apa boleh buat, “karnival” ini dianjur oleh beberapa pihak (termasuk yang sosialis tu) yang memang perbezaan prinsip mereka itu akhirnya akan bertembung dan akan berlaku sedikit clash. Macam mana nak atasi, kenalah pandai-pandai. Yang pasti, masing-masing mesti tak mau beralah dengan prinsip masing-masing. Tapi rasanya mereka boleh beralah dari segi “mengurangkan kemelampauan ketika beraksi di pentas” la kot. Boleh kan? Ala, tak mati pun kalau tak beraksi atas pentas macam “naik syeh” tu!

Dalam pada itu, izinkan aku cadangkan satu nama kugiran yang lain. Nama mereka ialah DONKOLL dan mereka berasal dari negara jiran seberang kita. Ini contoh persembahan mereka dan perhatikan lirik lagu mereka, apakah mesejnya. Maaf, kualitas videonya rendah sekali.

Yahaha, bagi yang dah tahu, bagus. Bagi yang tak tahu, aku akan bagitahu. Sebenarnya, itu merupakan sebuah kugiran fiktif dari sebuah sinetron yang berjudul KIAMAT SUDAH DEKAT! Sinetron berkenaan adalah adaptasi daripada filem KIAMAT SUDAH DEKAT, arahan Deddy Mizwar yang juga memegang watak utama sebagai Haji Romli. Sinetron ini mengekalkan kebanyakkan pelakon utama filemnya, kecuali watak Sarah yang dipegang oleh Zaskia Adya Mecca (baru-baru ni muncul dalam filem AYAT-AYAT CINTA).

Secara ringkasnya, kisah dalam cerita ini mengisahkan seorang rocker yang bernama Fandy (lakonan Andre Taulany), yang jatuh cinta dengan Sarah, anak Haji Romli itu. Dalam cubaan memenangi hati Haji Romli, Fandy akhirnya berubah daripada seorang yang tak tahu langsung mengenai agama, kepada seorang yang, biarpun masih rock, tapi beriman. Rocker yang beriman man!

Fandy mengetuai kugiran Donkoll ini (juga sebagai pemain drum), dan dianggotai oleh vokalisnya dan gitaris pertamanyaYongky (Angling Sagaran), gitaris kedua Jerry (Ferry Gustian), dan gitaris ketiganya Berry (Fahmi Bo). Dalam video di atas tu, babak dari persembahan konsert mereka di kampung Haji Romli.

Ya, melihat penonton konsert terkinja-kinja, memang tak enak. Sebab itu aku tak suka hadiri konsert. Tapi apa yang tak ditunjuk dalam video itu ialah, pada episod berkenaan, sepertimana yang aku ingat ketika menontonnya dua tahun lalu, persembahan konsert itu diadakan sebelum waktu Asar. Kemudian berkumandang azan Asar, dan tahu apa yang kugiran ini buat? Haha, mereka menghentikan persembahan, dan meminta penonton beredar dan menunaikan solat Asar, dan mereka akan kembali buat persembahan sesudah selesai solat Asar.

Seriously, pernah jumpa mana-mana penyanyi menghentikan persembahannya demi menghormati masuknya waktu solat, apalagi untuk menunaikannya terlebih dahulu (dan sambung persembahan kemudian)? Agak-agak, persembahan nasyid pun, apakah penyanyi akan buat macam itu? Itu kalau persembahan nyanyi-nyanyi, bagaimana kalau program “rasmi” yang lain?

Ya, benar, ini cuma cerita. Dalam dunia sebenar, aku tak jumpa lagi la, dan memang tak masuk akal la, berhenti konsert untuk solat, lepas itu sambung semula. Tapi ini merupakan kisah komedi, yang satira lagi sinis. Kita sebagai penonton patut ada rasa malu-malu sikit dengan “teguran” yang dibuat oleh cerita yang kita tengok tu, heheh!

Alang-alang dah masuk bab sinetron KIAMAT SUDAH DEKAT ni, jom kita layan video montaj pembukaan bagi sinetron ini (video lebih elok), iaitu lagu temanya dengan tajuk yang sama, yang dinyanyikan oleh (penyanyi asalnya iaitu) Willy Sabena.

Sebagai bonus, aku selitkan juga video satu babak yang satu babak yang sangat cute lagi menginsafkan, dan kalau tersensitif sikit, bisa sebak juga menontonnya. Babak antara Haji Romli dan Sarah membincangkan soal jodoh. Daann… si Zaskia tu memang cun giler ah!

Berdasarkan video dan babak ini (dan keseluruhan filem dan sinetron inilah), aku jadi tertanya-tanya, kenapalah bukan Deddy Mizwar dan produksinya yang dipilih untuk mengadaptasi dan mengarahkan AYAT-AYAT CINTA ya? Hmm…🙄

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s