Viral Marketing “The Dark Knight”

Dalam mana-mana filem, terutamanya filem Hollywood, “kempen” atau “promosi”, atau lebih tepat lagi disebut “pemasaran” untuk sesuatu filem tu sangat penting. Pihak studio, produksi, penerbit, semuanya tu masing-masing ada banyak duit yang dikeluarkan untuk filem yang dibuat, tapi mesti la mereka nak untung balik kan?

Maka, demi menjamin keuntungan yang maksima, filem itu kena “dipasarkan” sebaiknya. Lebih agresif, lebih bagus. Setiap ruang dan sudut yang ada mesti digunakan sebaiknya untuk mengiklankan mengenai tayangan filem tersebut. Maka, perbelanjaan yang “ekstra” mesti dikeluarkan. Kalau menjadi, nanti mereka akan dapat untung yang berlipat kali ganda. Kalau dah untung, peluang untuk ada filem sekuel akan jadi lebih cerah.

Di skrin (TV atau iklan sebelum tayangan filem lain di pawagam), ada “teaser trailer” (tunjuk sikit, bagi “perangat” sikit perasaan ingin tahu terhadap filem itu) dan trailer penuh” ketika waktu tayangan dah hampir tiba. Selain poster biasa di dinding, sekarang ni di bas pun boleh ada iklan! Pihak penaja dari kalangan syarikat produk tertentu (telefon bimbit ka, bijirin sarapan ka, syarikat permainan dan permainan video, produk makanan, kecantikan kecantikan, alat tulis, restoran, perabot, apa saja!) pun giat mempromosi filem yang mereka taja tu. Pendek kata, biar “melekat” di benak (bakal) penonton sampai ke peringkat bahawa mereka “WAJIB” menonton filem tu bila ditayangkan di panggung kelak.

Yeah, itulah dia “the power of marketing. Ewah, cam kuliah la pulak!

Tapi ada satu teknik pemasaran yang aku rasa sangat tertarik dengannya, teknik yang digunapakai untuk “mengiklankan” filem THE DARK KNIGHT ni, teknik yang diberi nama “viral marketing”

“Why so serious?”, tanya The Joker

Poster gempak ini diambil dari ComingSoon.net. Klik pada gambar tu untuk saiz besar.

Menggunakan “alasan” berdasarkan ayat di atas itulah, The Joker melakukan beberapa “sabotaj” terhadap laman-laman sesawang tertentu yang merupakan laman sesawang “rasmi” (kononnyalah) kepada badan-badan atau agensi-agensi kerajaan tempatan, atau kempen politik, atau individu-individu tertentu di Bandaraya Gotham.

Semua ini sebenarnya adalah sebahagian daripada “viral marketing” untuk mempromosikan filem THE DARK KNIGHT ini menerusi internet. Ada yang menyediakan permainan, ada yang meletakkan artikel, ada yang berupa akhbar online, ada yang berupa kempen pilihanraya, stesen TV pun ada! Pendek kata, belum pernah lagi la dalam sejarah hidup aku, melihat sebegini banyak “gimik” yang mempromosikan hanya SATU filem. Biasanya, kalau lebih daripada satu pun, hanya ada dua tiga saja. Oh ya, perlu ditegaskan, ini laman sesawang RASMI (OFFICIAL) yang dibuat oleh pihak studio Warner Bros. dan bukannya dibuat oleh peminat (dalam bentuk blog atau forum dan sebagainya tu).

Ianya seperti satu insiden di negara kita di mana seorang insan telah di[censored] oleh seorang pemimpin pembangkang, dan serentak dengan itu, secara tiba-tiba dia terus ada satu blog yang mengutuk pemimpin tersebut. Yang lagi bestnya, siap guna lagi perkataan “MUBAHALAH”. Mentang-mentang la perkataan tu femes dua-tiga menjak ni! Mesti sebab dia baru belajar perkataan tu serta maknanya dan baru register dalam kamus vocab dia, hahahha! Logik akal kita mengatakan pihak yang “mengorkestrakan” cereka/konspirasi inilah yang membangunkan blog itu dan bukannya si mangsa tersebut (sebab mangsa itu mungkin cuma seorang aktor sahaja, yang sedang melakonkan wataknya sebagai mangsa). Kan kes ini pun macam satu plot dalam sesebuah filem kan?

Ahem, termelalut la pulak!😛

Mari kita berbalik kepada filem THE DARK KNIGHT. Meh aku tunjukkan beberapa laman sesawang “gimik” yang berkaitan dengan filem ini.

1. The Dark Knight Official Website (TheDarkKnight.com)

Yang ini kira standard la, laman sesawang rasmi. Mana-mana filem pun ada benda ni zaman sekarang ni untuk mempromosikan filem masing-masing di alam siber. Meletakkan benda asas seperti maklumat mengenai filem (sinopsis, produksi, kru, pelakon) tarikh tayangan, gambar-gambar produksi, poster, video (trailer dan sebagainya), ada sikit freebies yang boleh dimuat turun seperti wallpaper, screensaver, gambar poster dan ikon buddy (untuk AOL Messenger mereka, kalau kita nak letak kat Yahoo! Messenger pun kecik sangat saiznya).

2. The Dark Knight Official MySpace Profile (http://www.myspace.com/thedarkknight)

Ini pun dah jadi satu kebiasaan. Banyak filem mutakhir ini yang buat profil rasmi mereka di MySpace (malah ada yang buat profil rasmi untuk sorang-sorang watak utama dalam filem berkenaan). Di sini, sesiapa yang ada profil MySpace boleh la “add to friend” profil THE DARK KNIGHT ni. Ada video trailer, gambar, dan kita boleh tengok banyak “kawan” bagi profil ni menghantar komen, beserta gambar masing-masing yang sudah diJOKERkan, iaitu dengan menconteng bahagian bibir dengan dakwat/cat/lipstik merah dan mata dengan dakwat/cat hitam! Seram beb!

3. Why So Serious? (WhySoSerious.com)

Laman sesawang yang kelihatan sangat “seram sejuk” lagi menakutkan ini ialah laman “rasmi” bagi The Joker. Di situ, kita boleh lihat apakah pelan-pelan atau rancangan-rancangan jahatnya dalam senarai to-do listnya. Di situ juga terdapat lebih banyak senarai laman-laman sesawang “rasmi” yang berkaitan dengan Gotham City. Kalau kita tengok sekarang, dah banyak dah benda yang dia dah buat, dan kesemuanya itu melibatkan pelayar laman sesawang tu. Maknanya, kita pun boleh turut sama dalam “rancangan jahat” si Joker ni, heheh!

Antara yang aku ingat ialah, dia merekrut “badut-badut” baru (kita boleh hantar penyertaan beserta gambar kita untuk menjadi konconya bagi menjalankan rancangan jahatnya. Dari segi pembabitannya secara online, ianya melibatkan pensabotajan kepada beberapa laman sesawang “rasmi” bagi beberapa badan/organisasi “rasmi” atau individu VIP tertentu di Gotham City. Dan pelan terakhirnya, semestinya kita hanya boleh lihat bila menonton filem THE DARK KNIGHT nanti.

Oh ya, boleh juga kita buat “ujian personaliti” kita di sini! Cubalah tengok!

Memula tu dikatakan memang banyak “kempen sabotaj” yang dibuat oleh The Joker ni, biasanya melibatkan pencontengan di bahagian mulut pada sesuatu gambar agar kelihatan “tersenyum” macam Joker (serammm!). Tapi semenjak kematian aktor Heath Ledger yang melakonkan watak The Joker tu, “kempen” itu dikurangkan, mungkin untuk menghormati beliau.

4. I Believe In Harvey Dent (IBelieveinHarveyDent.com)

Ini merupakan laman “rasmi” bagi watak Harvey Dent (lakonan Aaron Eckhart), seorang peguam. Ini merupakan laman di mana beliau berkempen untuk jawatan District Attorney (DA, lebih kurang macam kita punya jawatan Pendakwaraya la kalau tak salah) bagi Gotham City. Harvey ni merupakan “kawan baik” bagi Batman (lakonan Christian Bale). Bersama-sama dengan watak Leftenan James Gordon (lakonan Gary Oldman, yang berlakon jadi Sirius Black dalam filem-filem HARRY POTTER tu!) yang merupakan antara segelintir daripada anggota polis yang belum korup di situ, mereka bertiga sering bekerjasama dalam membanteras jenayah. Atas dasar itulah beliau berkempen agar diberikan jawatan itu, dengan suatu harapan untuk membersihkan Gotham City daripada jenayah dan korupsi.

Harvey Dent ni suatu ketika nanti bakal menjadi “seseorang”, tapi demi tak mahu spoilkan cerita dalam filem ni, maka tak perlulah aku sebut lagi. Walau bagaimanapun, kalau anda klik pada pautan yang aku sertakan beserta dengan nama watak ini pada perenggan di atas tu, pasti anda akan dapat jawapannya…😉

4. I Believe In Harvey Dent Too (IBelieveinHarveyDentToo.com)

Ini sepatutnya antara laman sesawang yang kononnya disabotaj oleh The Joker. Dalam filem ni, memang The Joker anti benar dengan Harvey Dent ni. Tapi bila aku masuk sekarang ni, page ini sudah pun tidak berfungsi, huhu…

5. GCN: Gotham Cable News (GothamCableNews.com)

Ini saluran TV berita versi online “rasmi” untuk Gotham City. Terdapat banyak video temuramah, bual bicara, dan sebagainya yang berkaitan dengan hal ehwal di Gotham City. Ada rancangan mengenai biodata Bruce Wayne (persona bagi watak Batman lakonan Christian Bale). Yang paling “hangat” ialah bual bicara mengenai kadar jenayah di Gotham City, pilihanraya jawatan pendakwaraya (DA) Gotham City, kempen calon-calon DA untuk merebut jawatan itu, dan paling menarik: bual bicara mengenai siapakah sebenarnya Batman dan persoalan mengenai apakah dia itu “kawan atau musuh”. Tengok la “lakonan” mereka dalam video-video di situ, macam real la tu!

Segmen paling menarik ialah “Batman Sightings”, di mana penonton (kitalah tu!) boleh hantar rakaman video atau foto kita sendiri jika kita (kononnya) pernah ternampak Batman sedang beraksi. Kita boleh “dedahkan” (exposé la kononnnya) tembelang Batman (kalau kita anti-Batman dan anggap Batman ni sebagai musuh la). Yah, memang interaktif! Tengoklah sendiri, memang kelakar la!

6. The Gotham Times (www.thegothamtimes.com)

Akhbar versi online untuk akhbar rasmi Gotham City. Ada berita-berita terkini mengenai Gotham City, tapi yang paling menjadi topik hangat yang menjadi headline (pada ketika aku masuk la, mana tau bila hari lain dia sudah update ke tajuk lain) ialah “Batman: Savior or Menace?”. Juga memaparkan berita mengenai kemenangan Harvey Dent dalam pilihanraya berkenaan.

Ada empat mukasurat semuanya, boleh diklik pada sebelah kanan atas “akhbar” berkenaan yang membawa ke seksyen-seksyen lain dalam “akhbar”, seperti kalam editor, surat pembaca, berita tempatan, macam surat khabar betul la (tapi tak ada berita sukan, hahaha!).

Sementara itu, di sebelah kiri atas “akhbar” tu, dan HANYA pada mukasurat pertama akhbar itu, ada kesan “terbakar” yang kalau kita klik padanya, akan membawa kita ke laman sesawang berikut pula!

7. The Ha Ha Ha Times (www.thehahahatimes.com)

Haa, inilah laman sesawang yang akan muncul kalau kita klik kesan terbakar tadi tu. Ini semua kerja si Joker yang gila tu. Habis dia sabotaj habis akhbar tu, dicontengnya dengan pen hitam (untuk buat mata badut) dan pen merah (untuk buat “senyuman” badut) pada mana-mana bahagian yang ada muka manusia di atasnya. Muka Batman pun kena jugak. Lepas tu ada kesan tompok darah atas keratan akhbar tu (ngerii…). Dia jugak menempek tajuk-tajuk utama atau artikelnya dengan kertas lain yang mempunyai tulisan lain di atasnya, sekaligus mengubah tajuk atau artikel asal dalam akhbar tu.

Secara keseluruhannya, kelihatan The Joker ni memang anti-segalanya. Anti-polis, anti-Batman, anti-pembangunan, anti-sosial. Memang sah ini kerja orang psycho, hehehe… Tapi apakah yang membuat dia jadi sebegini rupa ya? Kena tengok filemnya untuk jawapannya, hohoho!

8. Gotham Police Department (www.gothampolice.com)

Haaa, ini pulak laman sesawang “rasmi” bagi pasukan polis Gotham City. Motto mereka ialah “Bersih, Cekap, Amanah” “Tegas, Adil dan Berhemah” “Integriti Amalan Kita” “Better. Safer. Stronger”. Ada maklumat asas mengenai pasukan Polis Gotham, maklumat mengenai Commissioner (Pesuruhjaya) Polis Gotham, dan kempen agar rakyat Gotham menyertai pasukan polis mereka. Kalau tak salah, dulu ada ruangan di mana kita boleh apply nak masuk pasukan polis ni, hehe!

Laman web ni menggambarkan bahawasanya polis mereka ini cekap lagi bersih lagi amanah. Padahal, berdasarkan filem pertama lagi, digambarkan bahawa majoriti daripada anggota polis di situ adalah korup-korup belaka. Sebab itulah kadar jenayah di situ makin meningkat. Hanya beberapa saja yang betul-betul bersih, antaranya ialah watak Jim Gordon tu.

Disebabkan teruknya keadaan polis di sanalah, maka wujudnya pula laman sesawang di bawah ini.

9. We Are The Answer (www.wearetheanswer.org)

Ini merupakan laman sesawang bagi sebuah “organisasi bukan kerajaan” (NGO) yang bertindak memantau aktiviti-aktiviti meragukan (rasuah la tu!) yang melibatkan anggota polis. Organisasi ini digerakkan oleh Harvey Dent dalam usaha (dan kempennya) untuk memerangi rasuah di kalangan anggota polis (di samping memenangi pilihanraya!).

Untuk menjayakan program ini, orang ramai digalakkan memberikan informasi (tip) kepada laman sesawang ini (kita juga boleh hantar di sini, cuba la test submit tengok, heh!). Diberi juga panduan mengenai bagaimana mengesan polis yang meragukan, antaranya ialah jika kita lihat seseorang pegawai polis itu hidup mewah melampaui pendapatan sebenar mereka, dan juga apabila ternampak ada anggota polis yang meninggalkan sesuatu tempat yang sejurus selepas itu terus berlaku jenayah.

Persoalan: kenapa agaknya orang kita tak pernah berani buat cereka (filem/drama) yang menggambar korupsi polis? Seingat aku, yang “berani” buat pun ialah dalam filem CICAK-MAN dengan menggambarkan polisnya sedikit kureng kompeten. Itupun sebab ianya digambarkan dalam sebuah negara fiktif (METROFULUS).

10. Citizens For Batman (www.citizensforbatman.org)

The Joker telah berjaya menghuru-harakan Gotham City. Dalam keadaan huru-hara ini, pasukan polis makin tertekan dengan desakan rakyat dan ahli politik untuk menjaga keamanan awam. Dalam pada itu, kegagalan Batman menghalang keganasan The Joker dan konco-konconya, menimbulkan keraguan orang awam. Sebahagian rakyat menyalahkan Batman (sebenarnya ditakutkan oleh politikus yang menggunakan media!), menganggapnya sebagai seorang “vigilante”, malah ada yang melabelnya sebagai penjenayah. Ahli politik menggunakan ini sebagai bahan kempen. Media mengambil kesempatan menghangatkan dan mensensasikan lagi liputan berita mereka. Dan pihak atasan polis digesa menangkap Batman.

Dalam pada itulah muncul “Bersih” “GERAMM” “Citizens For Batman”. Mereka ini merupakan sebuah organisasi yang menyokong penuh tindakan Batman membantu membanteras penjenayah. Organisasi ini bertindak membuat perhimpunan haram (polis mesti tak bagi permit punya!), memprotes dan berdemo dalam setiap ruang dan ketika, menentang pihak berkuasa tempatan mereka yang mengarahkan supaya Batman diburu sebagai penjenayah. Akibatnya, mereka telah dilabelkan sebagai “pembangkang” “samseng”, “pengkhianat”, “menggalakkan rusuhan”, dan sebagainya (macam familiar ja dengan situasi di Malaysia ni kan? Kekeke!).

Dalam bahagian utama laman sesawang ini, ada sebuah jam yang sedang membuat countdown ke tarikh akhir bagi sesiapa saja yang melayari laman itu untuk “menyatakan pendirian” (take a stand) sama ada menyokong atau menentang Batman. Heh, yang sebenarnya jam itu membuat countdown ke tarikh/hari filem THE DARK KNIGHT itu akan ditayangkan (di Amerika Syarikat pada 18 Julai 2008)!

Pendirian mereka dipaparkan di sini, sementara kita boleh sertai perbincangan forum mereka di sini.

11. The Gotham Election Board (www.gothamelectionboard.com)

Ya, ini pula ialah laman sesawang mereka punya Suruhanjaya Pilihanraya! Badan inilah yang menguruskan proses pilihanraya D.A. Gotham City. Rupanya mereka sedang bereksperimen dengan proses pemilihan secara online, dan pilihanraya D.A. inilah merupakan pilihanraya mereka yang pertama yang dijalankan sebegini! Sebab itulah wujudnya laman ini, untuk membolehkan pengundi mereka mengundi untuk calon pilihan mereka.

Memandangkan pilihanraya berkenaan sudahpun berakhir pada 13 Jun yang lalu, dan pemenangnya pun sudah diketahui, maka laman ini pun kelihatan tiada apa-apa sangat. Persoalannya, teluskah badan ini? BERSIHkah pilihanraya ini? Atau apakah ada pengundi hantu? Maklumlah, buat secara online pula tu kan? Hmm…

12. Trust Garcetti: For Gotham D.A. (www.trustgarcetti.com)

Ini pula laman sesawang kempen milik Roger Garcetti, pemangku D.A. sebelum diadakan pilihanraya untuk memilih D.A. yang dipilih rakyat Gotham City. Bagus punya dia kempen, siap memburukkan lagi lawannya yang paling utama, iaitu Harvey Dent! Dia juga anti-Batman, sebab itulah juga antara poinnya menentang Harvey Dent (pro-Batman!). Bahkan, beliaulah yang menganggap Batman sebagai “ancaman” dan mengarahkan agar beliau ditangkap, dan beliau jugalah yang melabelkan kumpulan “Citizens For Batman” sebagai samseng.

13. Dana Worthington for Gotham City D.A. (www.danaworthington.com)

Ini pula laman sesawang Dana Worthington bagi seorang lagi calon D.A. untuk Gotham City. Kempen beliau hampir sama dengan Harvey Dent di mana beliau juga pro-Batman. Sepertimana Harvey Dent dan Roger Garcetti, kita boleh juga (kononnya) menghubungi beliau menerusi e-mel yang dipaparkan di situ.

14. Remembering Gina (www.rememberinggina.org)

Ini aneh sikit. Laman ini merupakan sejenis belasungkawa kepada seseorang yang bernama Gina Tortericci, mangsa pembunuhan kejam akibat pergaduhan antara geng mafia. Di sini, terdapat juga testimonial daripada keluarga, sahabat handai dan kenalan beliau.

15. GNB: Gotham National Bank (www.gothamnationalbank.com)

Apa lagi nak dikata! Ini merupakan laman rasmi bagi Bank Simpanan Nasional Gotham! Selain daripada menyatakan perkhidmatan yang disediakan, dipaparkan juga peta lokasi ke bank itu dan juga lokasi-lokasi terdapatnya mesin ATM mereka di sekitar Gotham City. Heh!

16. Gotham City Rail (www.gothamcityrail.com)

Perkhidmatan keretapi di Gotham City (macam monorel di KL kita tu). Ada gambar peta yang menunjukkan trek yang dilalui oleh keretapi di seluruh Gotham City

Perkhidmatannya meliputi ke seluruh pelusuk Gotham City. Tapi disebabkan insiden yang berlaku di mana rel keretapi di kawasan “The Narrows” mengalami kemusnahan teruk (rujuk peristiwa dari filem BATMAN BEGINS untuk mengetahui apa yang berlaku, hehhe!), perkhidmatan mereka jadi sedikit terjejas. Jadual perkhidmatan pun tak dapat dipaparkan di dalam laman sesawang mereka ini.

Sebagai alternatif, penduduk Gotham boleh menggunakan…

17. Gotham Cab Company (www.gothamcab.com)

Perkhidmatan teksi di Gotham, di bawah pengurusan baru katanya! Perkhidmatan mereka juga merangkumi ke suatu tempat bernama “Narrows”, lokasi di mana gerabak sistem perkhidmatan keretapi mereka mengalami kemusnahan teruk (rujuk peristiwa dalam filem BATMAN BEGINS), siap ada gambar petanya sekali. Sesiapa yang nak naik teksi di situ, silalah dail ke nombornya tu!

Ya, begitulah serba sedikit senarai laman-laman sesawang RASMI yang berkaitan dengan filem THE DARK KNIGHT. Ini yang rasmi punya ni, bukannya yang dibuat oleh peminat tau! Tu pun aku tak pasti apakah aku sudah menyenaraikan kesemuanya, sebab aku rasa macam ada lagi yang aku tertinggal ni, heh! Tapi walau bagaimanapun, laman-laman sesawang yang selebihnya boleh diakses menerusi laman WhySoSerious.com (kalau masih ada), cuba lihat kertas warna putih, ada senarai nombor telefon bagi perkhidmatan-perkhidmatan tertentu di Gotham City, yang kita boleh klik pada senarai berkenaan dan akan bawa ke laman yang berkaitan.

Apapun, ini menunjukkan betapa “agresifnya” pihak studio Warner Bros. dalam mempromosikan filem ini di dalam Internet. Macam aku kata tadi, belum pernah lagi la aku jumpa filem lain yang buat macam yang mereka buat pada filem ini. Banyak duit mereka nak bangunkan dan maintain pulak website-website ni kan? Tapi aku rasa, lepas habis filem ni nanti, pasti ada di kalangan website tu yang akan down, maka cepat-cepatlah layari sebelum itu berlaku. Masih ada masa sebelum filem ini ditayangkan!

Mereka betul-betul nakkan pulangan yang lumayan untuk filem ini, biar mengatasi jumlah yang dihabiskan untuk membikin dan mempromosikan (dengan cara yang gila sebegini, heheh!). Oleh yang demikian, marilah kita “bantu” mereka, dan penuhi pawagam berhampiran anda pada 17 Julai 2008 nanti dan tontonilah filem ini! 8)

One thought on “Viral Marketing “The Dark Knight”

  1. Pingback: Laman Web “The Dark Knight” kena sabotaj? « Saladin Convoy

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s