Mission: Impossible – Episod Perdana Menteri vs. Timbalan Perdana Menteri

Aku memang suka siri ini. Sukanya aku terhadap siri ini bukannya hanya sebab ianya menyangkut soal spy-menyepai” sahaja, tapi juga disebabkan analogi yang dibuat dalam cerita ini terhadap peristiwa sebenar di dunia, dan yang paling seronok ialah betapa ironisnya aku rasa apabila mendapati ada episod tertentu yang sangat mirip dengan suasana politik negara kita.

Ya, memang ada episod tertentunya yang kelihatan seperti berlaku dalam negara kita. Memang dalam siri ini, negara yang “dikacau” itu merupakan negara-negara Eropah tertentu yang tak sebulu dengan Amerika Syarikat, namun gambaran dan suasana politik tertentu dalam negara-negara Eropah tersebut sangat hampir dengan suasana yang berlaku dalam negara kita.

Contohnya ialah dalam suatu entri aku yang lalu, episod siri MISSION: IMPOSSIBLE berkenaan sangat hampir dengan suasana negara kita yang nak menghadapi pilihanraya pada ketika itu. Dalam episod yang aku tonton pada 19 Jun 2008 jam 12:30 tengah malam di RTM2 pulak, sekali lagi episod itu persis suasana di negara kita.

Dalam episod yang diberi judul “The Train”, pasukan Impossible Mission Force (IMF, dan bukannya yang bagi pinjam duit kat negara orang tu!) ditugaskan untuk membantu seorang Perdana Menteri di sebuah negara Eropah fiksyen yang diberi nama “Svardia”.

Dalam episod ini, kesemua watak utama siri ini iaitu Dan Briggs (lakonan Steven Hill) si Ketua Pasukan, Cinnamon Carter (Barbara Bain) si Model, Barney Collier (Greg Morris) si Jurutera Elektrik, Willy Armitage (Peter Lupus) si Orang Kuat dan Rollin Hand (Martin Landau) si “Pakar Serba Boleh” (aku tak tau nak gelar apa!) membuat kemunculan sebagai ejen-ejen IMF yang ditugaskan untuk misi ini, di samping dua watak sampingan iaitu seorang Doktor Pakar Jantung yang bernama Dr. Harrison Selby dan seorang Pengarah Seni (pembuat kesan khas untuk filem Hollywood, menang Oscar lagi, kononnya lah!) bernama Oliver Donovan untuk menjayakan misi ini.

Ya, ini antara aspek menarik siri ini. Digambarkan bahawa ejen-ejen bagi IMF ini kesemuanya ada profesion dan pakar dalam bidang masing-masing yang pelbagai (model, pelakon, jurutera, pakar permata, doktor pakar, inspektor polis, macam-macam ada!), dan menjalani kehidupan biasa, SEHINGGALAH dipanggil untuk melaksanakan sesuatu misi, di mana kepakaran mereka ini diperlukan untuk menjayakan misi tersebut.

PM vs. TPM

Berbalik kepada episod tadi, Perdana Menteri tersebut yang bernama Ferenc Larya, menghidap sakit jantung (haaa… macam kenal ja PM kita yang pernah sakit jantung!), dan memang bila-bila masa saja boleh “pergi”. Untuk itu, dia sudah pun menyediakan Timbalannya iaitu Pavel, yang dididiknya sendiri, agar dapat menggantikan tempatnya sebagai Perdana Menteri kelak (hmm… ini pun macam kenal ja TPM kita yang seperti itu!).

PM negara ini memang mengamalkan dasar demokrasi (yaaa, Amerika Syarikat pun suka!), namun rupa-rupanya TPMnya itu mempunyai kecenderungan (dan berdasarkan bukti) untuk membawa negara itu ke arah pemerintahan diktator sekiranya dia naik sebagai PM nanti (dan ini sangat tidak disukai oleh Amerika Syarikat!). Malangnya, biarpun dinyatakan dan diberi amaran kepada PM mengenai hal ini, dia tersangat tidak mempercayai tuduhan yang dilemparkan ke atas TPM kesayangannya itu (aaaahaaa, ini pun macam pernah dengar berlaku di negara kita kan?!).

Ditambah pula dengan bukti-bukti palsu yang ditunjukkan oleh si TPM itu bersama “sekutunya” iaitu Androv (berpakaian tentera, mungkin Jeneral yang merangkap Menteri Pertahanan bagi negara itu, yang bersubahat dengan si TPM nak melaksanakan dasar diktator itu) kepada PM, di mana dikatakan wujud “konspirasi” (say what?) untuk menjatuhkannya sebagai TPM sekaligus menghalangnya daripada naik sebagai PM (waduh, memang persamaan yang sangat tak dapat dinafikan!). Dengan alasan sebagai “konspirator”, kesemua penentang TPM itu disumbatkan ke penjara. Dan PM sangat mempercayai “bukti-bukti” ini, dan yakin bahawa TPMnya dapat menjalankan tugas sebagai PM dengan baik menggantikan tempatnya, dan akibat kepercayaan buta tulinya itu, dia tidak menerima apa saja “tuduhan liar” yang dilemparkan ke atas TPMnya itu (sah, memang macam negara kita suatu ketika dulu! Agaknya diorang tonton episod ini terlebih dahulu kot!).

Maka, atas dasar “tanggungjawab” Amerika Syarikat (White Man’s Burden la kununnya tuuu!), perkara ini tidak boleh dibiarkan. Sesebuah negara demokrasi (baca: SEKUTU KUAT AMERIKA SYARIKAT DI EROPAH la kononnya tu) itu tidak boleh dibiarkan jatuh ke tangan bakal diktator. Maka untuk itu, pasukan IMF ditugaskan untuk memastikan bahawa TPM ini TIDAK BOLEH DILANTIK SEBAGAI PM.

Ejen-ejen IMF beraksi

Apakah mereka ditugaskan untuk membunuh TPM itu? Ohh, itu mudah sangat kot! Silap-silap dia boleh dilihat sebagai wira pulak! Bukan, bukan itu yang geng IMF ini nak buat. Haaa, untuk pengetahuan, sememangnya rancangan mereka ini sangat bijak lagi geliga lagi “tak masuk akal”, hahah!

Oh, di sini aku nak menyelit mengenai satu lagi aspek yang aku suka pasal siri ini. Dalam siri ini, kesemua ejen IMF ini, biarpun mempunyai kepakaran yang agak melampau luarbiasanya, namun mereka tetap “manusia biasa” yang masih tertakluk kepada kesilapan, sama ada kesilapan sendiri atau faktor luaran yang tiba-tiba berubah dan tidak memihak kepada mereka. Dengan kata lain, mereka ni bukanlah “super-spy” yang tampak cool, macho lagi hebat. Mereka melaksanakan tugasan mereka semampu yang boleh, tapi masih dalam kapasiti manusia biasa.

Paling seronok melihat bagaimana mereka menghadapi situasi di luar dugaan, di mana berlaku sesuatu yang TIADA dalam perancangan asal mereka. Ataupun peristiwa yang membuatkan mereka hampir kantoi (ataupun, kalau dalam bahasa Seberang: KETAHUAN!), di mana babak sebegini biasanya dipaparkan sebaik sahaja sebelum iklan (bajet saspens la tu!).

Apabila berlaku sedemikian, mereka terpaksa improvise pelan yang sedia ada. Kalau melibatkan kerosakan teknikal, maka si “Jurutera Elektrik” itu berperanan dalam pemulihan semula pengoperasian bagi alat yang mereka guna untuk misi mereka. Ada ketika pula bila ada yang cedera, terpaksa ejen lain yang sedia ada mengambil alih peranan tertentu. Dan dalam situasi hampir kantoi, biasanya si “Pakar Serba Boleh” (dia ni pakar dalam penyamaran, silap mata, escape artist) yang memainkan peranan dalam menciptakan “alasan” agar terlepas dari keraguan musuh. Iyalah, mereka ni pengintip, kalau bocor rahsia, habislah mereka kan?

Perlaksanaan Misi

Pelan yang sangat jitu dilaksanakan. “Doktor Pakar Jantung” tadi dihantar bersama “Model” (menyamar sebagai Jururawat) sebagai pakar asing (dari Switzerland kononnya) untuk melihat keadaan PM itu. Dan dengan menggunakan alat tertentu, doktor itu mengatakan bahawa kondisi PM itu adalah sekian-sekian, dan “alat” itu dibunyikan agar seolah seperti jantung PM itu menepati kondisi yang dikatakan itu. Mereka juga memalsukan gambar sinar-X keadaan dada PM itu agar dilihat sepertimana yang dikatakan itu. Dan dengan perkembangan tahap kesihatan ini, doktor itu mencadangkan agar dijalankan pembedahan pintasan jantung (huh, bab ini pun hampir sama jugak dengan kisah negara kita!) dan memandangkan mesin untuk pembedahan sedemikian tiada di negara itu, maka PM itu terpaksa dipindahkan ke hospital doktor undangan tadi tu di negaranya. Dan untuk ke situ, harus menaiki keretapi.

Maka dalam bab “keretapi” ini pula (sepertimana tajuk episod ini sendiri), di sini berperanan pula beberapa ejen IMF yang lain. Apabila PM menaiki keretapi, dengan beberapa helah untuk menipu semua pihak yang menaiki keretapi itu, gerabak yang menempatkan PM itu berjaya dipindahkan ke sebuah gudang, di mana di situlah peranan utama dimainkan pula oleh “Pengarah Seni filem Hollywood” tadi tu.

Dibantu oleh “Jurutera Elektrik”, mereka menggunakan projektor untuk dipancarkan ke tingkap gerabak yang memainkan video yang membuatkan seolah mereka yang berada di dalam keretapi itu menyangka bahawa keretapi itu benar-benar sedang bergerak. Ditambah pula dengan mesin yang dipasang pada gerabak itu, yang membuatkan gerabak itu bergerak-gerak (bagi ada feel), dan dibantu dengan kesan bunyi khas yang dimainkan serentak (bunyi keretapi bergerak, bunyi angin, bunyi landasan bergesel), memang tak siapa pun tahu bahawa keretapi itu tak bergerak ke mana pun! Wahaa, memang dahsyat betul pelan mereka ini!

Seterusnya, dipasang pula bunyi seolah keretapi itu sedang berada di luar kawalan, dan gerabak itu pun dikocak dengan laju, dan dibuat seolah keretapi mereka sedang mengalami kemalangan. Disuntik dengan ubat pelali ketika sedang berada dalam “kekalutan” itu, si TPM dan “Jeneral” tadi tu pun dipengsankan, dan disedarkan di hospital kononnya.

Peleraian (ewah, macam Komponen Sastera la pulak!)

Pada peringkat itu, mereka berdua ini apabila “sedar” di hospital itu (dengan keadaan berbalut yang memang menggambarkan seolah mereka cedera akibat kemalangan), digambarkan pula kepada mereka berdua bahawa PM itu sudahpun terkorban dalam “kemalangan keretapi” tadi.

Tanpa mahu bersabar lagi, si TPM tadi apabila mengetahui bahawa PM mereka sudah tiada, terus mengarahkan supaya watak “Jeneral” tadi itu menabalkannya sebagai PM (di katil hospital, tak mahu tunggu sembuh dulu, memang rakus!). Dan di samping itu, beliau juga turut memperlekehkan pemerintahan PM yang asal itu sebagai lemah, sedangkan mereka sepatutnya boleh menguasai seluruh negara Eropah.

Malangnya, aksi TPM dan “Jeneral” ini disaksikan oleh si PM itu sendiri, dari luar studio yang mereka bina bagi menggambarkan suasana di wad (tempat mereka berdua kononnya dimasukkan lepas kemalangan tu). Apabila tirai dibuka, terpancarlah sinar kantoi di muka kedua-dua “pembelot” itu. Dan si PM pun dengan rasa sebak, berkata kepada TPM kesayangannya yang sangat dipercayainya itu, “Saya terima surat perletakan jawatan kamu”, atau lebih tepat lagi “You’re FIRED” la, heheh!

Berakhirlah sudah episod ini, dan ternyata, dengan nyawa yang tidak panjang, dan kondisi yang tidak akan sembuh, jadi satu hal pulak bagi PM negara itu nak cari pengganti baru. Huhu, selamat mencari!

Analogi

Eiish, dengan minda yang waras, tidak boleh tidak, aku memang nampak sangat persamaan peristiwa pergolakan di negara Eropah yang tak wujud ini, dengan senario di Malaysia sekitar sepuluh tahun dulu! Masih ingat tak, siapa mantan PM dan TPM kita pada waktu itu? Haaa, bagus!

Bagi aku, yang berlaku dalam episod ini lebih kurang sama dengan “kita”:

  • PM didik TPMnya agar dapat menggantikannya.
  • TPM itu rakus nak naik “takhta”.
  • PM sakit jantung (walau bagaimanapun, ini bukan faktor PM kita pada waktu tu nak letak jawatan sebab beliau sembuh sepenuhnya, tak macam PM dalam cerita ni yang agak nazak).
  • Ada konspirasi nak menjatuhkan TPM.
  • PM tak percaya bahawa TPMnya itu (dalam bahasa mudah) “jahat”.
  • Akhirnya, TPM itu “dipecat”.

Hehe, aku rasa, mungkin pihak-pihak tertentu di negara kita ini, pihak yang berada “di atas” nun, pernah menonton kot episod ini. Sebab “jalan ceritanya” memang sebijik la! Tapi, WaLlahu a`lam la, kuasa Tuhan semua ni. Ada hikmah kot.

Kot mana pun, aku sangat amused dan tersenyum sendirian memikirkan betapa miripnya kedua-dua “peristiwa”. Bezanya ialah, yang satu tu cuma “sebuah episod dalam sebuah siri drama TV”, sementara yang satu lagi memang “benar-benar kejadian”!🙂

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s