Drama Propaganda di Stesen TV Kita

Tajuk asal: Finalé BUJANG ANTIK yang hampeh?

Pada hari Selasa, 6 Mei 2008 yang lalu, jam 3:30 petang, ke udaralah sudah episod terakhir siri komedi yang tersangat aku layan, iaitu BUJANG ANTIK. Tahap minatnya aku terhadap siri ini sehinggakan aku menaip atau menyebut mengenainya DUA KALI, iaitu di sini dan di sini.

Ini kerana aku mendapati dalam banyak-banyak drama komedi tempatan yang tengah berkumandang di stesen-stesen TV kita pada sekitar awal tahun 2008 ini, memang ini siri yang sangat masyuk dengan aku. Lawaknya pun boleh tahan, tak bodoh macam drama-drama komedi yang lain, dan pelakon-pelakon komedi yang ada dalam tu, semuanya aku minat (Ahmad Busu, Maidin, Hamid Gurkha dan Sheila Mambo).

Namun, alahai, lain pula halnya episod akhirnya itu hari…

Bujang Antik penyokong projek pembangunan

Episod ini bermula dengan memaparkan watak Che Ros (lakonan Sheila Mambo) didatangi seorang wakil/perunding (aku tak ingat apa peranan dia) daripada pihak pembangunan (lakonan Fathil Dani). Lelaki ini menyatakan hasrat pihak pemaju untuk membeli tanah-tanah di kawasan “kampung” (berkemungkinan besar di sekitar Kampung Baru, KL) itu, termasuklah tanah milik Che Ros itu sendiri. Untuk digunakan dalam projek pembangunan oleh kerajaan katanya. Okay, camkan betul-betul kata kuncinya di sini, iaitu KERAJAAN! Perunding itu menyatakan bahawa setiap penduduk yang menjual tanahnya, akan diberikan tempat tinggal yang akan disediakan oleh pihak kerajaan (kata kunci: AKAN DISEDIAKAN, maknanya belum disediakan lagi, atau mungkin belum difikirkan langsung atau diperuntukkan kewangan untuk menyediakan tempat tinggal baru ini..).

Che Ros terasa berat hati untuk menjual tanah merangkap dua buah rumahnya, sebab selain rumah yang didudukinya dan anaknya iaitu Zura (Wan Sharmila) itu, di seberang jalan, terdapat sebuah rumah yang juga merupakan sebahagian daripada tapak tanahnya, yang disewakannya kepada tiga orang “BUJANG ANTIK” iaitu Pak Ajis (Ahmad Busu), Pak Meon (Hamid Gurkha) dan Pak Din (Maidin). Mereka ini bujang yang “antik” kerana dalam usia setua mereka ini, mereka masih membujang. Pekerjaan pun tak mewah, maka itulah sebab mereka hanya mampu menyewa rumah papan milik Che Ros ini.

Walau bagaimanapun, dengan semangat, kesetiaan, dan sokongannya pada KERAJAAN, Che Ros memberitahu kepada si wakil tadi tu bahawa dia memang akan sokong apa saja projek KERAJAAN, dan dia memohon masa beberapa hari untuk memikirkan hal ini, dan akan memberitahu keputusannya sama ada dia akan setuju atau tidak. Sementara itu, dia juga harus memikirkan cara bagaimana hendak “menghalau” tiga orang Bujang Antik itu agar berpindah.

Maka, apa dia buat? Dia pun pergi ke rumah mereka, dan dengan tegasnya meminta mereka berpindah sesegera mungkin. Tiada alasan diberi. Geng-geng bujang ini terkejut dengan arahan Che Ros ini, sementelah lagi mereka yang terlihat kelibat lelaki si perunding tadi, telah mengesyaki Che Ros ada hubungan dengan lelaki ini (tipikal drama Melayu). Diburukkan lagi pulak dengan “pendedahan” oleh Zura bahawa lelaki itu ialah tunang ibunya. Memandangkan Che Ros melarang Zura daripada menceritakan kepada pakcik-pakcik bujang itu perihal “projek” itu, maka Zura yang mencari akal untuk mengelak daripada menceritakan hal sebenar, telah “ter”ciptakan alasan “bertunang” itu.

Maka keseluruhan episod ini kemudiannya berkisarkan pakcik-pakcik bujang ini “menyiasat” dan mendapati “tunang” Che Ros ini “kaki perempuan” (sebenarnya perunding berkenaan sedang berurusan dengan penduduk lain di sekitar kampung itu, tetapi kebetulan ketika dilihat oleh mereka, perunding itu sedang berurusan dengan penduduk PEREMPUAN). Dan akhirnya salah sangka ini terlerai akhirnya. Aku tak mahu mengulas pasal ini yang sememangnya kerap sangat kita jumpa dalam mana-mana drama pun.

Aku nak mengulas mengenai “keterbukaan” pakcik-pakcik bujang antik ini, setelah diceritakan mengenai KERAJAAN ingin membangunkan kawasan mereka (maka ada yang terpaksa dibeli tanah/rumah dan perlu berpindah dari situ), MENYOKONG PENUH projek pembangunan sebegini. Dan mereka pun setuju untuk berpindah dari situ.

Haa… di sinilah meloyanya aku dengan propaganda episod ini. Okay, mereka ni penyokong KERAJAAN, dan apa saja projek KERAJAAN, mereka sokong. Aku tak hairan kalau Che Ros yang sokong, sebab itu tanahnya, dan bila dijual, dia akan dapat bayaran atau pampasan atau whatever, plus akan dapat rumah baru, biarpun dalam ayat perunding tu, dia sebut AKAN yang membawa maksud berkemungkinan tak digantikan pun rumah atau tempat tinggal bagi penduduk yang sudah menjual tanahnya, dan sekaligus mereka berpotensi akan MEREMPAT. Tapi, sekurangnya mereka dapat DUIT kan?

Namun berlainan pula dengan situasi si bujang-bujang antik ini. Mereka cuma menyewa di situ. Apabila tuan rumah itu nak jual tanah itu, maka mereka perlu “dihalau”. Apabila mereka dihalau, mereka perlu mencari tempat tinggal baru. Mereka ini bukanlah orang senang, dan mereka TIDAK DIBAYAR apa-apa sebab mereka TIDAK MENJUAL TANAH sebab mereka TIADA TANAH, sebab mereka CUMA MENYEWA. Maka mereka ini lebih berpotensi untuk merempat seandainya mereka gagal mencari rumah yang mampu mereka bayar sewanya.

Tapi, yang peliknya, mereka MENYOKONG PENUH projek KERAJAAN ini! Mereka langsung tak rasa seperti dianiayai! Wah, okay la, mereka ni penyokong yang setia, tidak mengharapkan apa-apa balasan. Tapi, ada ka manusia sebegini? Mereka tak dapat SATU APA MANFAAT pun! Malah lagi menyusahkan mereka sebab mereka terpaksa berpisah, membawa haluan masing-masing, kerana terpaksa berpindah, dan sampai akhir episod pun, tidak dinyatakan bahawa masa depan mereka “terjamin” (dah dapat rumah untuk didiami/disewa).

Diulangi lagi soalan, ada ka manusia sebegitu? Atau persoalan yang lebih menarik, apakah ada manusia bermentaliti sebegini? Apa saja projek pembangunan, semuanya baik, bagus, disokong, biar aku merempat pun tak apa asal ada pembangunan, begitu ka??

Begini ka cara pentadbir sesuatu negara, menggunakan duit rakyat, untuk membangunkan sesuatu yang hanya akan memberi UNTUNG (paling besar) kepada si peneraju projek (kroni ka, dan lain-lain), dan memberi MANFAAT kepada golongan tertentu saja, sementara SEBAHAGIAN BESAR rakyat yang lain haram tak boleh nak manfaatkan pun “pembangunan” itu, begitu?

Yang lucunya (haha, bertepatanlah dengan ini sebagai drama KOMEDI!), ianya digambarkan, dalam siri ini, sebagai sesuatu yang “tak apa” atau baik! Maknanya, mesej cerita ini ialah, nak membrainwashkan otak kita agar menganggap ini sesuatu yang baik, normal, dan bukan suatu pembaziran dan penindasan. Yep, memang propaganda!

Maka, sebagai peminat setia siri ini, aku rasa amat kecewa kerana episod akhirnya tersangat hampeh. Namun, secara jujurnya, rasa kecewa terhadap episod akhir sesuatu siri TV yang aku minati pada awalnya, tersangat kerap aku alami!

Drama IMPIAN ABADI di RTM2 pun sama jugak!

Haa… ini nak cerita pasal sebuah slot drama Cina tempatan di RTM2, setiap hari Ahad jam 6 petang. Pelakonnya majoritinya daripada pelakon-pelakon tempatan berketurunan Tionghua. Tapi uniknya, produksi ini membikin siri drama ini seratus peratus dalam Bahasa Melayu! Seronok juga menonton mereka ni, ada yang fasih, ada yang kurang fasih sampai bunyi macam robot sedang membaca/menghafal skrip!

Setelah drama TENTANGAN (kisah korporat, ala-ala drama Hong Kong atau drama Melayu era slot SPEKTRA di RTM tahun 90an dulu yang merupakan saduran daripada drama-drama Hong Kong!), sekarang digantikan pula dengan judul IMPIAN ABADI. Aku tak pasti dah berapa episod yang ditayangkan, tapi berdasarkan iklan, aku rasa dah dua bulan macam tu kot.

Dan… berdasarkan iklan juga, serta beberapa ketika aku “ter”tengok drama ni, aku dapati siri ni berlatarbelakangkan negeri KELANTAN! Macam mana aku tahu? Melalui iklannya, aku dengar ada watak menyebut “Pasir Mas”! Okay, negeri KELANTAN, aku syak, mesti ada “udang di sebalik batu” ni… Eh, sebenarnya tak ada yang tersembunyi, sebab melalui iklannya juga, aku dah terdengar satu dialog yang mengesahkan syak aku tadi tu. Tapi aku simpan dulu syak aku tu, sebab mungkin iklan tu (sepertimana iklan lain di RTM dan sesetengah stesen TV swasta pun yang tak reti nak buat iklan yang spoiler-free) telah membuatkan dialog tadi tu dipetik di luar konteks sebenar babak itu.

Maka, kebetulan, pada hari 12 Mei 2008 (Ahad) yang lalu, sekali lagi aku “ter”tonton drama itu. Ada satu watak bapa yang tua yang bernama “A” (maaf aku tak ingat nama-nama watak ini), gagal mendapatkan pinjaman kewangan daripada majikan tempat dia bekerja, untuk menampung kos perubatan anak perempuannya yang sakit jantung. Balik dalam keadaan kecewa, isteri dan anak-anaknya merayu agar si bapa ini pergi mohon pertolongan daripada lelaki lain, si “B”, yang rupa-rupanya merupakan musuh ketatnya. Puas dirayu dan dipujuk, akhirnya si “A” ni setuju juga membuang ego dan “maruahnya” dan berjumpa dengan si “B” demi kesejahteraan dan kesihatan anak perempuannya yang sakit itu.

Dalam pertemuan itu, berlaku dialog antara mereka berdua yang menjelaskan kepada aku (sebagai penonton) bahawa permusuhan mereka berkaitan dengan politik. Hmm… POLITIK! Macam dah nak boleh teka dah halatuju drama ni! Dan permusuhan mereka ni disebabkan oleh PIHAK KETIGA yang suka MENANGGUK DI AIR KERUH. Siapa dia mereka ni? PEM BANG KANG ka? Heheh!

Setelah diadukan, maka si “B” pun bersetujulah nak membantu. Dia akan memaklumkan kepada MCA PUSAT (ooo, orang MCA rupanya!), dan seterusnya, si “A” akan menerima sumbangan sebanyak RM30000 dan anaknya akan terus dihantar ke IJN. Wah, lumayan! Lepas itu berlakulah dialog yang aku dengar dari iklan yang aku sebut tadi tu. Dialog yang dilafazkan oleh si “A” itu, dengan nada seperti menyesal, berbunyi:

“Sekarang baru aku sedar, hanya KERAJAAN yang diberi MANDAT oleh RAKYAT saja yang patut aku SOKONG. Yang lain semuanya PEMBOHONG.”

Wooops, tungguuuu! Siapa yang dimaksudkan KERAJAAN yang diberi MANDAT oleh RAKYAT tu, dan siapa pula PEMBOHONG? Kalau ikut dalam konteks drama ini, yang berlatarbelakang negeri Kelantan, dengan beranggapan bahawa realiti di dalam drama ini mencerminkan realiti sebenar, maka bukankah KERAJAAN yang ada di situ, diberi MANDAT oleh RAKYAT?

Tapi dia lafazkan ayat ini SETELAH dia mendapat tahu akan dibantu oleh “MCA PUSAT”, yang kalau ikut realiti drama itu sendiri, bukanlah mewakili “kerajaan” di negerinya pada ketika itu. Maka, kalau ikut logika ayat dia itu, disebabkan “MCA PUSAT” bukanlah mewakili “KERAJAAN yang diberi MANDAT oleh RAKYAT”, maka ini bermakna MCA PUSATlah “PEMBOHONG” itu, betul tak?

Atau mungkin kesetiaannya pada pentadbiran Persekutuan, maka ini akan menjadikannya suatu logika yang songsang, di mana MCA PUSAT itulah merupakan “KERAJAAN yang diberi MANDAT oleh RAKYAT” di negeri-negeri lain (perlu diingat, drama ini diterbitkan sebelum PRU12!) dan kerajaan negerinya itu ialah PEMBOHONG. Hmm… ideologi songsang yang berbelit-belit ini, tidak syak lagi, satu lagi unsur propaganda dalam drama TV kita!

Lepas tu, ada pula satu lagi dialog melibatkan seorang gadis Tionghua dan kekasihnya. Jejaka Tionghua ini menyatakan dia ingin berhijrah ke Kuala Lumpur, untuk bekerja, kerana katanya di KL “ada masa depan”. Sungguhpun tak dinyatakan secara langsung, tapi aku sudah mentafsirkannya bahawa berada di negerinya (Kelantan) yang bukan dibawah pentadbiran yang sama dengan KL, maka di situ tak ada masa depan. Kalau nak cari masa depan (yang cerah la kot, dia tak sebut pulak masa depan yang macam mana), mesti kena keluar dari Kelantan. Satu lagi propaganda!

Kemudiannya jari aku terus menekan butang alat kawalan jauh TV dan membuka stesen TV yang lain. Tengok DAURAH NASYID MINGGU INI lagi layan, hehe! Sayang, drama ini ditayang lewat, kalau tidak, mungkin la, dapat membantu dalam kempen PRU12 yang lalu…

PERJUANGAN BELUM SELESAI: Drama propaganda PRU10 (1999)

Waktu PRU tahun 1999 yang lalu (wow, dah hampir 10 tahun berlalu!), ketika aku masih di sekolah menengah, aku teringat ada satu drama bersiri yang sangat “propaganda”, berjudul PERJUANGAN BELUM SELESAI, berdasarkan tajuk puisi Dr Mahathir tu la. Peh, diadaptasi jadi siri drama TV tuuu! AKU CARI DAMAI ABADI takat jadi lagu jaa!

Drama ni ada macam-macam pelakon handalan, ada Haliza Misbun, ada Azri Iskandar sebagai watak ala Zainuddin Maidin, sebab watak dia ni dibantu oleh watak “Dr. Kamal” (ala Dr Mahathir la tu) lakonan Shukery Hashim (ni drama pertama aku tengok beliau guna loghat utara!). Nama parti Melayu dalam drama ni aku dah lupa, tapi bunyinya kalau diolah balik, pastu diterjemah ke Bahasa Inggeris, memang akan jadi UMNO la jugak. Cuma yang lucunya, nama parti ini serta akronimnya dikekalkan dalam Bahasa Melayu! Jadi ini bermakna mereka lebih serius memperjuangkan Bahasa Kebangsaan!

Lepas, di pihak “parti lawan” (ala PAS, dengan bendera hijau putih jugak, tapi bukan lambang bulan!) ada Wan Maimunah, dan tak lupa, M. Rajoli selaku ketua/presiden “PARTI HIDAYAH MALAYSIA”. Beberapa episod kemudian, muncul watak aktivis pelajar yang mulanya menentang, tapi kemudiannya berjaya dipujuk oleh Dr Kamal agar masuk ke partinya (sah watak ni ialah Anwar Ibrahim).

Drama ni memang aku agak layan jugak zaman tu, wakakaka! Aku tak pastilah ada atau tidak pihak tertentu yang tersinggung dengan drama ni. Tambah pulak zaman tu pilihanraya setelah pemecatan Anwar Ibrahim, memang gempak gila. Aku pun pada tahun ini la baru “berkenalan” dengan politik. Propaganda di media arus perdana, toksah cerita la. Antara yang paling hebat, drama ini la. Zaman tu internet tak maju lagi, “blog” pun macam tak wujud lagi. Dan memandangkan aku masih mentah, aku tak pasti apakah drama ini “membantu” sebagai medium kempen. Tapi, yang pasti, timing drama ini memang tepat pada waktunya (musim pilihanraya) dan tamat pun elok-elok saja seminggu lepas keluar keputusan.

Antara yang menarik perhatian aku ialah nama pihak yang terlibat dalam pembikinan drama kempen propaganda pro-parti pemerintah ni. Nama yang aku tersangat ingat sampai hari ini. Siapa dia? Aku bagi klu: beliau ni digelar PUTERA KATAK sebab suka lompat parti! Ya, betul! Namanya ialah IBRAHIM ALI! Dia memiliki suara yang, kalau aku tak tengok siapa yang bercakap, aku pasti akan terkeliru antara suara beliau dengan suara NOH OMAR!

Yep, zaman tu, dia ada dalam UMNO, sebelum itu, kalau tak salah, dia dalam SEMANGAT 46, dan sebelum itu lagi, memang dia UMNO. Lepas tu, dia senyap kot. Seterusnya, dia bertanding atas tiket PAS, dan sekarang dia BEBAS. Memang pakar melompat la dia ni!

Dan jangan dilupa, beliau, aku rasa la, merupakan penyumbang terbesar bagi pembikinan drama ini. Lepas tu sekarang, dia berada BEBAS di PARLIMEN PASIR MAS. PASIR MAS? Hmm… macam nama lokasi drama Cina tempatan tu la pulak! Ada kaitan ka?

Apahal pun, kesimpulan aku nak buat di sini ialah, drama ini memang suatu propaganda hebat dari BN pada ketika itu. Memang sangat ambitious. Tak seambitious propaganda/kempen untuk PRU12. Sungguhpun untuk PRU12 baru-baru ini, ada iklan di Yahoo! dan Yahoo! Messenger, tapi mana boleh lawan dengan projek drama bersiri macam ini. Oh lupa pulak, ada filem 1957: HATI MALAYA. Tapi itu bukanlah projek RASMI macam drama tu, hehhe!

Sungguhpun drama PERJUANGAN BELUM SELESAI ini propaganda, tapi keunikannya ialah ianya tak menggunakan nama-nama tokoh sebenar, sebaliknya menggunakan nama lain bagi watak-watak yang merupakan analogi bagi tokoh-tokoh sebenar ini. Dan dari satu segi, kalau kita nak tonton dari sisi yang berbeza, kita boleh kata ini suatu cerita parodi, sungguhpun aku yakin BUKAN ITU NIAT ASAL penerbit drama ini!

6 thoughts on “Drama Propaganda di Stesen TV Kita

  1. heabt sungguh ulasan drama tuan, kagum saya membacanya walaupun saya tidak pernah menontonnya. Apa juga drama sudah tentu ada motif dan misinya..terpulang pada kita menilai baik buruknya.

  2. Hoho, terima kasih Tuan HE!

    Well, motif dan misi drama/filem propaganda semestinya untuk brainwash penonton supaya nampak pihak tertentu itu kelihatan baik dan mesti disokong, dan pihak yang lagi satu itu kelihatan jahat dan mesti ditentang. Barat sendiri banyak kan filem/siri TV mereka yang memaparkan pro-kapitalisme dan anti-komunisme. Kini anti-terorisme (baca: anti-ISLAM) pula.

    Kalau dalam konteks negara kita, nah, macam itulah dia cerita propaganda kita, supaya menyokong parti pemerintah… 8)

  3. Hahaha, satu lagi waktu yang aku MALAS nak buka TV ialah pada ketika musim sedang berlangsungnya temasya bolasepak bertaraf antarabangsa. Yang terkini ni EURO la. Iklan tak habis². Promosi gila² yang tak berkaitan dengan bola pun banyak. Berunsur judi ada kalanya. Paling tak tahan ialah kalau melibatkan COCA-COLA yang tak berguna itu (hmm… tahun ni macam tak ada pulak!)… 8)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s