Lawak RTM2: Memperjuangkan “Najib” Melayu?

Rasmilah sudah!

Err… macam tak kena ja ayat aku ni? Tak apalah, mari aku ulang semula dengan menggunakan ayat aslinya dalam bahasa asalnya.

It’s official!

Ya, bunyinya lebih “semulajadi” daripada cubaan (gagal) aku untuk menterjemah semua istilah-istilah Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu secara bulat-bulat (memang tak boleh jadi penterjemah!).

Haa, apa yang officialnya tu? Yaa, aku nak kata di sini bahawa “It’s official! RTM memang ‘Bapak Lawak’!”

Setelah aku melaporkan dulu mengenai “kelucuan” RTM di sini, iaitu mengenai kecenderungan RTM untuk “mencilok” lagu pihak lain yang pastinya ada hakcipta terpeliharanya sendiri dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya tanpa kebenaran pihak terbabit sebab malas nak compose lagu sendiri kot (contohnya ialah dengan mencilok lagu daripada siri games FINAL FANTASY) dan di sini, iaitu mengenai “lawak” mereka yang baru nak “berkenalan” dengan blog, maka aku rasa RTM ni terlampau banyak “pandirnya” yang aku dah tak menang tangan nak catat dan laporkan di sini (ececeh, macam suatu kewajipan la pulak!).

Kali ini aku menemui “kelucuan” ini dalam RTM2 pulak! Dalam Berita Mandarin! Haha, memanglah aku tak tonton Berita Mandarin, tapi dalam pada dok bertukar-tukar siaran tatkala kebosanan dengan sesuatu stesen TV yang kita sedang tonton pada ketika itu, pastinya kita akan melewati stesen yang sedang menyiarkan rancangan yang kita sememangnya tak akan menontonnya atas sebab-sebab tertentu. Namun, dalam pada itu, pasti juga kita akan “tertangkap” sesuatu keganjilan yang tengah berlaku di mana-mana stesen yang kita dok surf tadi tu, kalau kita perasan kewujudannya.

Makalah itulah yang berlaku pada tanggal 6 Mei 2008 (hari Selasa) yang lalu, iaitu pada sekitar jam 12 tengah hari, aku “terkalih” ke stesen RTM2 yang sedang menayangkan siaran beritanya yang berjudul MANDARIN TENGAH HARI. Sungguhpun berita ini dalam Bahasa Mandarin, namun, sepertimana siaran berita RTM dalam Bahasa Tamil, di ruang bawah skrin yang memaparkan tajuk berita atau headline bagi sesuatu berita yang sedang dilaporkan, akan ditulis dalam Bahasa Melayu.

Maka pada ketika itu, mata aku tertangkap pada tajuk berita yang sedang dipaparkan pada ketika itu. Tajuk itu berbunyi:

“UMNO akan teruskan agenda memperjuangkan najib Melayu”

Ada nampak apa-apa keganjilan di situ? Haha, apa kata aku cerahkan dan hurufbesarkan perkataan yang ganjil dalam ayat itu, dan ianya akan kelihatan sebegini:

“UMNO akan teruskan agenda memperjuangkan NAJIB Melayu”

Okay, dah nampak? Hahaha, aku sebetulnya dah dua-tiga kali menenyeh mata aku, untuk memastikan bahawa aku tak silap baca. Ternyata apa yang aku baca itu betul. Memang itu yang ditulis.

Okaylah, aku akui, memandangkan aku tak ada “bukti” (bergambar atau bervideo) untuk menyokong cerita aku ni, maka aku akuilah bahawa boleh jadi ayat yang aku baca itu tak 100 peratus tertulis sebegitu. Namun, aku yakin sangat-sangat bahawa perkataan “NAJIB” tu memang ada di situ.

Aku pasti semua orang sedar apa yang cuba disampaikan dalam tajuk itu. Aku pun yakin perkataan yang “dicari” ialah “NASIB”. Tapi entah kenapa, siapalah Mamat yang kerja di RTM2 pada ketika itu untuk melakukan kerja-kerja menaip ini, boleh pi taip NAJIB la pulak! Apakah disengajakan atau tidak, itu hanya orang yang buat kerja ini sahaja yang boleh jawab, hehe!

Dari struktur bahasa pun, kita dah tahu ayat ni tak kena. “Memperjuangkan Najib orang Melayu”? Apakah yang nak diperjuangkan hanyalah orang Melayu yang bernama Najib? Macam gabungan dua ayat penyata yang berbeza, iaitu “memperjuangkan Najib” dan “Najib orang Melayu”.

Tapi apa nak dihairankan, Bahasa Melayu (atau Malaysia… apa-apa ajalah!) ni bahasa “kelas kedua” saja bagi mereka ini. Sebab itulah ianya ditukarkan istilahnya kepada “Bahasa Malaysia”. Sebab itulah matapelajaran Sains dan Matematik sudah tidak lagi diajar dalam Bahasa Melayu. Sebab itulah nama parti mereka, baik nama penuh mahupun akronimnya, pun dalam Bahasa Inggeris, bukannya Bahasa Melayu. Sebab itulah anak-anak mereka semuanya dihantar belajar ke luar negara, dan bila balik, sepatah haram pun tak reti nak cakap Melayu. Sebab itulah nama-nama bank pun sekarang ni dah banyak yang kehilangan bunyi/nama dalam Bahasa Melayu (terkini: AGROBANK). Dan… apa lagi ek? Apahal pun, dasar-dasar ini tersangat terpancar jelas menerusi stesen TV mereka, hehe…

Itupun bukan main lagi, mereka insist, menerusi media mereka, supaya jangan lagi pakai istilah Bahasa Melayu, sebaliknya gunalah istilah “BAHASA MALAYSIA”. Itupun bukan main lagi insist supaya kita guna istilah “BAHARU” menggantikan perkataan “BARU” (DBP suruh ka, atau DBP yang disuruh? Sebab dulu bila guna istilah “INFOTAINMENT”, tak merujuk kepada DBP dulu pun?).

Tapi, dalam masa yang sama, mereka ni tak ambil berat pun dengan struktur dan tatabahasa Bahasa MALAYSIA yang mereka pakai dalam siaran-siaran mereka. Ada satu siaran berita, tertulis “Manifesto BN di lancar (perkataan “di” dan perkataan “lancar” diselang? Oh, apakah manifesto BN itu berada di tempat yang bernama LANCAR?). Baru-baru ni, aku nampak ada ditulis “RTM mengucapkan terima kasih diatas bantuan anda”. Alahai, imbuhan dan awalan “di” pun tak reti nak bezakan penggunaannya? Tak ada “pakar bahasa” yang bekerja di RTM untuk dijadikan rujukan ka? Oooh, inikah dia pejuang “Bahasa Kebangsaan”, yang boleh buat silap terhadap tatabahasa yang semudah itu?

Kalau macam itu, maknanya tak ada bezalah dengan Bahasa Melayu “pasar” yang aku dok guna hari-hari ni. Tapi sekurang-kurangnya, penggunaan “di” aku ni lebih betul penggunaannya daripada mereka, hehe! Jadi, bagaimana mereka boleh mendakwa diri mereka sebagai pejuang Bahasa Kebangsaan dan mahu kita memartabatkan penggunaannya, kalau mereka sendiri kelihatan turut menyumbang ke arah “kerosakannya”? Hmm…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s