Lepaskan Kembali Aku Ke Laut la wei!

…Lepaskanlah!!!

Kata patung ikan duyung di pejabat Sir McDonald… eh salah tu! Sir DONALD!

“Ini patung sungguh misteri! Ia seolah-olah meminta aku untuk…”

“Ah sudahlah tu Don! Kamu mabukk!”, kata si isterinya yang tidak bernama dan hanya dikenali dengan panggilan ‘Mem‘ itu, dengan “loghat orang putih” yang membuatkan bunyi ‘qolqolah kubra’ pada setiap perkataan yang berakhir dengan huruf qolqolah.

“Sepanjang malam kamu mabukk-mabukk dan mengulang-ulang itu ayatt, semenjakk Tunku meminta kemerdekaan untukk Malaya”, sambungnya lagi.

“Ini patung kesayangan kamu wahai isteriku yang aku tidak tahu nak panggil apa sebab kamu tiada nama! Saya tak faham kenapa kamu sayangkan patung ini. Ianya menggangguku setiap kali aku melihatnya di atas meja pejabatku ini”, Sir Donald memberikan comeback dalam Bahasa yang sedikit fasih berbanding isterinya itu.

“Itu meja dan ini bilikk pejabatt kamu. Saya tidakk faham apa yang menghalang kamu untukk memindahkan patung itu ke tempatt lain. Kenapa kamu masih menyimpannya di sini”, balas Mem yang sukar difahami nada ayatnya, samada bertanya atau memberi ayat kenyataan, kerana bunyinya yang monotonous.

“Kamu gila Don! Kenapa kamu fikir itu patung mahu minta kamu lepaskan dia kembali ke lautt! Dia itu patung, tidakk bernyawa, tidakk bercakapp, tidakk…”

“Sudahlah itu wahai isteriku. Aku mengerti. Mari kita tidur, besok kita mahu pulang ke London. Aku tidak tahu kenapa aku tak suka Tunku tapi boleh jadi suka bila berbicara dengannya dan kembali tak suka bila berjauhan. Kenapa Malaya mahu merdeka. Kenapa…”

“Marilah Don, mari tidurr. Kemabukan kamu membuat kamu sudah berbunyi monotonous seperti aku. Mari tidurr. Besok perjalanan kita jauh. Aku sudah rindu sama anakk kita Don.”, Mem mengakhiri bual bicara mereka.

Kazman bin Jasin, anak Jasin dan Julas, juga obses dengan patung duyung itu. Saban hari dia melukis patung itu, semenjak kali pertama dia mencuri-lihatnya di rumah Sir Donald.

Ya, dia masih ingat bagaimana dia pertama kali mencuri-lihat patung itu.

Mujur ibunya, si Julas, bekerja menyeterika baju Mem di King House, rumah-pejabat Sir Donald. Dengan menggunakan kebiasaannya melawat ibunya di tempat kerja, dia menyahut cabaran rakan-rakan sebayanya untuk mencuri masuk ke bilik rahsia Sir Donald. Entah apa tujuannya, dia dan kawan-kawannya sendiri tidak pasti, namun ianya perlu untuk membawa kepada plot cerita yang lebih besar.

Dengan skil ala James Bond, dia menyusup, sup sap, dan akhirnya tiba di bilik itu. Dan di situlah dia terlihat akan patung itu. Patung yang akan mengubah segalanya! Patung yang akan membuatnya melukis imej ikan duyung berulang kali tanpa henti, macam orang gila, tapi masih waras.

Alamak, ada orang nak masuk bilik ni! Secara tiba-tiba, kelihatan Kazman berlari berkejaran dan terlanggar kereta milik Tunku. Tunku membawanya ke hospital, dan bertemu dengan Usmal, seorang Leftenan Muda.

Kakaknya, Izma, telah jatuh hati pada Usmal. Mereka berkirim surat. Akhirnya takdir menentukan mereka terpisah, Usmal terkorban pada malam hari kemerdekaan, ditembak komunis kerana sedang leka memerhati daun yang diminati Izma. Dan tiada siapa yang menyedari hakikat kecuaian ini, kecuali penonton di rumah. Dan dia diangkat sebagai wira negara tak didendang.

Julas redha dengan ketentuan hidupnya. Suaminya, Jasin, sudah memadukannya dengan Inang, Ketua Wanita cawangan entah di mana.

Namun Jasin tak puas hati pula dengan Tunku dan kerajaan, kerana sesudah berhempas pulas berbakti, meninggalkan anak dan isteri, menduakan dan memadukan isteri, tapi walhasilnya habuk pun dia tak dapat. Tak jadi calon atau tak dapat tanah kot, getus aku selaku penonton.

Dia berdialog dengan isteri mudanya. Ultimatumnya, dia ingin menyertai pembangkang. Isteri mudanya sedih. Dileterinya dengan nasihat supaya “bersyukur dan berterima kasih”.

Ah, Jasin pun pulang ke rumah isteri tuanya. Di situ, dia boleh dapat ketenangan, sebab isteri tuanya itu tak ambil kisah soal politik.

Atas katil, sebelum lelap mata, dia turut dileteri isteri tuanya, supaya “bersyukur dan berterima kasih”. “Eh, sejak bila pula dia ni pun pandai soal politik ni?”, gumam Jasin.

Jasin akhirnya terkena penyakit pneumonia, hasil daripada terlampau berembun ketika menghadiri ceramah pembangkang. Dia dimasukkan ke hospital. Setelah dileteri lagi oleh isteri mudanya mengenai “bersyukur dan berterima kasih”, sambil memuji kemudahan yang disediakan di hospital, untuk rakyat, maka Jasin pun insaf, dan kembali ke “perjuangan asal”.

Setelah 26 episod berlalu, kini tibalah episod 27, angka yang pelik dan janggal dan tak pernah diambil oleh orang lain untuk dijadikan episod terakhir dalam mana-mana siri drama TV pun.

Kazman kini sudah masuk universiti, begitu juga dengan kawan-kawan yang mencabarnya mencuri masuk bilik rahsia King House, beberapa tahun dahulu. Namun yang paling rapat dengan Kazman ialah seorang gadis Tiong Hua bernama Geik Im.

Saban hari mereka berpacaran. Tidak dapat dibayangkan betapa gelinya hati mengenangkan pelakon watak Kazman dan pelakon watak Geik Im, pada hakikatnya, mempunyai jarak umur melebihi SEPULUH TAHUN! Dan Kazmanlah yang termuda di antara keduanya itu! Bertambah luar biasa hubungan mereka kerana kelihatan setiap kali mereka berpacaran, Geik Im kelihatan tegang dan sedih, sementara Kazman sentiasa tenang, gembira dan selamba. Sungguh ada hubungan kimia romantis!

Setelah saban hari berpacaran, maka tibalah saatnya Geik Im mengakui pada Kazman bahawa ayahnya seorang komunis, dan kini diburu oleh komunis DAN Saudagar Bo’yo (ah long versi sesudah merdeka sebelum Malaysia) kerana berhutang. Kazman berusaha sedaya upaya untuk menunjukkan wajah dan rasa keprihatinannya. Dia berpura-pura bertanya tindakan yang bakal diambil oleh Geik Im untuk menyelamatkan ayahnya itu. Sungguh berhati wira!

Di rumah, Izma kini berdepan dengan situasi rumit. Dia dalam dilema, apakah perlu dia menyerahkan kembali Rizal, anak yang dijaganya semenjak Datin “bekas-isteri-guru-merangkap-bekas-penari-joget” Aliah, ibu kandung si Rizal itu, meninggalkannya kepada Izma, kembali kepadanya. Boleh faham ayat ini?

Ya, buat apa aku menyerahkannya, getus hati Izma. Aku juga anak yang diangkat oleh Julas ibuku kini, aku juga bukan anak kandungnya, dan aku akan buat hal yang sama pada Rizal ini. Lagipun, Izma dah nak kahwin dengan Sarim, adik arwah Usmal. Ya! Tak dapat abang, dapat adik pun jadilah!

Geik Im terkesima melihat ayahnya diikat komunis, di gua. Dia sudah membawa surat jaminan akan membayar hutang komunis. Ayahnya dilepas, tapi Geik Im pula ditahan, sebagai jaminan tambahan. Ayahnya pergi mencari wang.

Kazman di rumah ibu Geik Im. Ibunya risaukan keselamatan Geik Im. Sebagai wirawan sejati, Kazman pun turut tumpang risau.

Di gua, Mok, ketua komunis divisyen “gua” itu, tak sabar nak menjamah Geik Im. Geik Im melawan. Dijeritnya nama Kazman, biarpun dia tahu itu perbuatan yang sangat sia-sia. Dia sendiri yakin Kazman si Selamba itu memang tidak akan dapat berbuat apa-apa. Lagipula Kazman sedang bersedih di rumah ibunya. Baru Geik Im menyesal tidak mendengar larangan acuh-tak-acuh Kazman supaya tidak pergi ke gua itu sendirian tadi.

Mok merapatkan badannya ke Geik Im. Dalam keadaan terdesak, Geik Im teringat keris kecil yang dibawanya. Keris yang entah bagaimana boleh disimpannya gadis Tiong Hua sepertinya itu, yang pastinya tidak mungkin secara suka-suka dibeli dan disimpannya sendiri. Mesti ada orang yang kasi tu! Jangan-jangan Kazman! Tapi sepanjang 27 episod ini, tiada pula ditayangkan begitu. Hmm…

Tanpa berlengah, Geik Im menghunuskan keris itu ke perut Mok. Berguna juga Kazman ni, getus Geik Im, seandainya kita terima teori mengatakan Kazmanlah yang menghadiahkan keris itu padanya sebelum peristiwa ini.

Malang, anggota komunis lain menembak Geik Im di dada sebelah kiri, tempat yang wajib dikenakan tembakan untuk membolehkan seseorang watak itu mati ditembak, dalam mana-mana cerita di dunia ini. Geik Im tumbang, namun tangannya masih memegang erat Kazman… eh maksud aku, keris kecil itu.

Balik di rumah ibu Geik Im, mereka yang tengah risau, dikejutkan dengan kehadiran seorang komunis barangkali, yang cedera. Dia menyatakan bahawa Geik Im dalam bahaya. Mungkin dia ingat Geik Im masih hidup.

Kazman cuba nak jadi hero, bertanya di mana Geik Im berada. Malang, komunis itu sudah mati sebelum sempat berkata apa-apa.

“Pergilah cari Geik Im!”, desak ibu Geik Im. Kazman, dalam keadaan bena tak bena, mungkin sebab dia masih tak tahu dengan tepat lokasi Geik Im, atau mungkin juga sebab dia takut, atau mungkin juga sebab pelakonnya kurang menghayati wataknya, akhirnya beredar dari situ. Mencari Geik Im barangkali.

Guruh berdentum, kilat sambar-menyambar. Izma memeluk erat Rizal. Kazman berlari menutup tingkap rumah mereka.

Eh, Kazman??!!

Apa dia buat di rumah??!! Bukankah dia pergi mencari…? Eh, malah siap sudah bertukar pakaian lagi?

Ternyata Kazman mungkin sudahpun tahu bahawa Geik Im sudahpun mati, dan tindakan mencarinya memang sia-sia. Bijak. Memang seorang wirawan sejati. Atau mungkin babak ini ialah beberapa hari selepas peristiwa itu. Entah, masih menjadi tanda tanya.

Hujan lebat turun. Kilat menyambar lagi, namun aneh, tiada kedengaran bunyi guruh.

Tapi ternyata Julas, ibu Kazman dan Izma, mendengarnya! Dia bangun dari tempat tidurnya, ketakutan. Dia berlari ke arah dapur, tanpa tujuan yang jelas.

Zap! Kilat menyambar dahan pokok imej janaan komputer tiga dimensi. Grafik dahan itu jatuh ke bumbung rumah mereka, betul-betul di atas tempat Julas melarikan diri. Izma dan Kazman terkejut mendengarnya. Julas sudah tiada lagi.

Tiga tahun kemudian. Di jeti yang tidak dapat dipastikan samada di Kuala Kedah atau Kuala Perlis, kelihatan Kazman, kini berkacamata, membuka begnya. Dan terlihat oleh kita keris kecil yang persis milik Geik Im. Ah, bila masa pula Kazman mencuri keris itu? Bijak, memang bijak, pintar dan kompeten wirawan kita ini!

Feri berlabuh. Kazman melabuhkan punggungnya di atas tempat duduk di dalam feri itu. Ternyata dialah penumpang pertama! Dan dia bersendirian! Wah, feri ini aku yang punya, muhahaha!

Tapi kegembiraannya itu cuma bertahan tak sampai sesaat, kerana datang pula tiga anak beranak yang masuk ke dalam feri itu. Cis!

Tiga beranak ini diketuai oleh Shukery Hashim Wan Mohamad. Hey, rasanya namanya ada dalam intro, tapi kenapa muncul tiga kali sepanjang siri ini dan baru muncul pula pada penghujung episod akhir?

Kazman dan Wan Mohamad berjabat tangan. Kazman menyatakan tujuannya ke Langkawi kerana ditugaskan untuk mengajar di situ. Wan Mohamad pun memperkenalkan dirinya selaku Pegawai Daerah Langkawi, yang baru sudah bercuti di Semenanjung dan ingin kembali ke Langkawi.

Wan Mohamad memperkenalkan isterinya, yang tidak pula dinyatakan namanya, dan seterusnya memperkenalkan anak daranya, Wan Zaleha, kepada Kazman. Kazman dan Wan Zaleh saling berpandangan, dengan pandangan yang biasanya akan membawa kepada mereka saling meminati dan kemudiannya akan saling mencintai, begitulah hukum drama bersiri. Sesuatu yang belum sempat dia dan Geik Im buat.

Wan Zaleha tersenyum, dan mukanya pun membeku, lantas keluarlah kalimah “Sekian”, menggantikan kalimah “Bersambung…”, menandakan tamatlah sudah LEPASKAN KEMBALI AKU KE LAUT: THE SERIES ini. Aku dan ibuku menyambutnya dengan ketawa!

Apa jadi pada Geik Im yang sebenarnya? Apa jadi pada ayah dan ibunya Geik Im? Apa jadi pula pada Jasin dan Inang? Apa jadi pada kawan-kawan Kazman yang lain? Apa jadi pada Izma dan Rizal dan Datin Aliah? Apa jadi pada Sarim, Yati dan seluruh penduduk Bedong? Sarim dan Izma jadi menikah atau tidak? Apa jadi pada Osman Cina? Apa jadi pada Bo’yo? Apa jadi pada Tunku? Apa jadi pada Malaya dan Malaysia? Apa jadi pada patung ikan duyung itu? Di mana aspek “lepas ke laut”nya cerita ini?

Ah, ini tak lain tak bukan, strategi nak suruh kita beli novelnya la ni…

2 thoughts on “Lepaskan Kembali Aku Ke Laut la wei!

  1. aduh…aku memang geram ini ending… marketing bagus punya…tapi aku rasa 27 mmg good sign la…wa punya birthday la..hehehe…apasat wa cakap slang cine ah? wa pun tarak tau..maybe ah..itu Geik IM punya pasat..

  2. Wahaha, lu pun tengok aa ini celita?

    Haha, tapi wa helan aa, apa pasat itu Geik Im aa, sampai lia lewasa pun, cakap slang, tapi ibu bapanya cakap fasih? Dia itu lagi educated maa daripada ibu bapanya…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s