Berakhirlah sudah Dinasti Bilut…

Tanggal 8 Januari 2008, berakhirlah siri DINASTI BILUT yang ditayangkan di RTM1 (Saluran Inforia anda!) dalam slot ASTAKA PERDANAnya iatu setiap Isnin hingga Khamis (dulunya slot ini tayangannya setiap hari, kemudiannya setiap Isnin hingga Jumaat, sekarang setakat hari Khamis saja) jam 10.30 malam. Hoho, memang berebut dengan slot SAMARINDA di TV3 nih! Kira mau ada fight la jugak antara kedua-dua stesen ni, tapi sekali terlintas di minda kita, kita dah dapat agak stesen mana yang menang kan?

Tak mengapalah, tak kisahlah, biarpun orang lebih suka menonton SAMARINDA (yang asyik-asyik memaparkan kisah orang-orang korporat), aku selaku “peminat drama Melayu” lebih memilih ASTAKA PERDANA, hahaha!

Ops, sebelum termelalut, biarlah aku menjuruskan kepada drama bersiri yang ada 40 episod ni…

Secara jujur aku sendiri tak tengok dari awal episod pertama drama bersiri yang merupakan spin-off bagi filem BILUT ni. Macam filemnya, drama bersiri ini juga diarahkan oleh Bade Azmi, seorang pengarah yang tersohor di negara kita ni (suami kepada seorang pengarah tersohor juga, Erma Fatima!). Tapi tak macam filemnya, siri ini tak menampilkan Rosyam Nor atau mana-mana pelakon dari filemnya. Malah siri ini sebenarnya langsung tiada perkaitan dengan filemnya. Tapi memandangkan aku sendiri tak pernah menonton filemnya (biarpun filem ini dipuji pengkritik filem tempatan), maka mungkin juga watak-watak (ataupun nama watak berkenaan) dari dalam filem tu turut muncul dalam drama ini, tapi sebagai orang yang sudah tua barangkali. Ya la, kan filem itu menampilkan pada saat awal peneroka FELDA yang pertama meneroka Bilut kan? Sementara drama bersiri ini pula memaparkan kisah generasi FELDA itu pada zaman SEKARANG, sebab itulah ada perkataan “DINASTI” dalam tajuknya itu kot.

Sekali lagi secara jujur aku sebetulnya tidak begitu menggemari drama bersiri terbitan SUHAN MOVIES AND TRADING SDN BHD milik Rosyam Nor dan isterinya ni, terutamanya kalau drama bersiri berkenaan adalah untuk tayangan SAMARINDA di TV3, yang menampilkan Rosyam Nor sebagai “hero korporat”, sebab aku tengok stail wataknya dalam cerita sebegini sama saja, cuma heroin saja berbeza, heheh! Tapi ternyata kalau drama terbitan produksi ni tak menampilkan Rosyam Nor, dan memakai tema yang berbeza, rupanya seronok juga menontonnya!

Tapi sepertimana drama bersiri terbitan SUHAN MOVIES yang lain, pada kredit akhirnya mesti akan ada penghargaan tajaan kepada biskut JULIE’S, minuman POWER ROOT, dan peralatan jenama TUKUL! Haha, kalau tak percaya, nanti kalau tengok drama terbitan SUHAN MOVIES, cuba jegilkan sikit mata waktu baca kredit akhir tu (tak payah jegil pun sebenarnya), mesti nampak punya logo-logo jenama tu, haha!

Dan sepertimana produksi lain di muka bumi ini pun, produksi SUHAN ni pun tak terlepas daripada unsur ‘favouritism‘, ‘kronisme’, ‘nepotisme’, dan entah apa ‘isme’ lagi, dalam pemilihan pelakonnya. Maka kalau drama SUHAN, biarpun Rosyam Nor tak jadi hero, tapi mesti ada adiknya iaitu Azman Nor berlakon dalam cerita ni (dan sorang lagi pelakon yang pertama kali aku “kenal” dari siri CID 3278 iaitu Eyzendi Aziz). Hehe, tapi aku kesian la kat Azman Nor tu. Agaknya bilalah dia berpeluang nak jadi “hero” pulak dalam drama bersiri terbitan mereka ni aa? Asyik-asyik abang dia ja jadi hero, sementara dia pulak kalau tak watak jahat, mesti jadi watak yang jenis yang orang tak peduli punya, hoho! Kasilah can pulak kat dia jadi hero!

Barisan pelakon yang mantap

Ha, tak dinafikan, barisan pelakon yang ada dalam siri ni memang mantap. Biarpun dalam barisan utamanya, selain daripada Sahronizam Noor (Danial), kesemuanya boleh dikatakan “pelakon” atau “muka” baru seperti Bienda (Shida), Sabrina Hasan (Rozie), Ummi Nazeera (alamak lupa nama watak dia! Dia ni taklah baru sangat kemunculannya, tapi tetap kita kata dia masih muda) dan Azhan Abd Rani (Shukri), tapi barisan pendokong drama bersiri ni semuanya “otai” yang kita dah lama kenal. Ada Zamarul Hisham, Azman Nor (“otai” jugak la dia ni, heheh), M. Rajoli, Ahmad Tarmimi Siregar, Aida Radzwil, Khir Rahman, Abu Bakar Omar, Datuk Jalaluddin Hassan, peh, ramai tu! Tak lupa juga kemunculan khas Senator Tan Sri Jins Shamsuddin. Memang boleh kata ini sebagai “all-star cast” la.

Alkisahnya…

Biarpun aku tak ikuti dari awal, tapi ada la faham sikit. Ada pelbagai kisah, plot, tema (dan entah apa lagi istilah Komponen Sastera SPM yang aku sendiri tak reti nak guna, hehe) dalam cerita ni. Ada kisah krisis antara anak (Danial) dengan bapanya, sebab bapanya tu anak peneroka FELDA yang “malu” mengaku sebagai anak FELDA, sementara anaknya tu pula (selaku “cucu” FELDA) pi jadi Pegawai di FELDA Holdings la pulak! Ada pulak kisah cinta (ini memang piawaian biasalah dalam drama kita kan?) antara lelaki kota (Danial) dengan gadis desa (Shida). Cinta tiga segi pun ada, tapi mujurlah tak melampau, meleret macam Sinetron, hehe (terus-terang aku cakap, drama Melayu kita SEPULUH kali lebih bagus daripada sinetron-sinetron yang stesen-stesen TV kita dok ghairah sangat mengimpot dan menayangkannya tu!).

Di samping itu ada la sedikit unsur-unsur (propaganda?) patriotisme yang diselitkan serba-sedikit di sana-sini. Ada kisah yang menceritakan kehidupan seharian peneroka FELDA. Ada kisah di kilang-kilang dan pejabat-pejabat yang menguruskan hal-ehwal FELDA di FELDA Holdings (haa, di sinilah unsur “korporat”nya drama bersiri ini). Ada juga ditunjukkan teknologi.

Ada pula kisah pengkhianatan; terhadap kawan, kekasih, keluarga, malah dengan negara pun ada! Ha, di sini ditonjolkan watak Rozie dan Shukri bersubahat dengan seorang lelaki keturunan Amerika/Inggeris untuk meletupkan kilang biodiesel milik FELDA Holdings. Maka di sini pula menonjolkan semangat cintakan negara, dan menonjolkan sedikit kecekapan polis membanteras jenayah ini, dan ada la ditampilkan sedikit antara “teknologi canggih” yang digunakan oleh “pengganas” (yang nak meletupkan kilang tu) dan juga yang digunakan oleh pihak polis tu.

Oh ya, agak menarik untuk dinyatakan di sini, watak “pengganas” atau “teroris” yang dipaparkan dalam drama bersiri ni bukanlah militia ala Taleban atau Al-Qaeda, tapi… ORANG PUTIH sendiri! Haha, lawak kan?

Hmm… apa lagi yang aku terlupa ya? Hah, memang seperti yang aku cakap, cerita ni ada banyak tema. Mustahil nak cerita semuanya secara detail yang mampu mencakupi 40 episod tayangan drama ni, huhu!

Biasalah, drama Melayu…

Memang tak boleh larilah kalau kita nak “kondem” ketidakcekapan atau ketidaklogikan drama kita ni (biarpun Sinetron sebenarnya lebih banyak memperbodohkan kita melalui ketidaklogikan cerita mereka yang lebih melampau, haha!). DINASTI BILUT ni pun tak terlepas juga daripada itu.

Antara yang paling aku nak tergelak ialah episod di mana kemuncak kepada rancangan nak mengebom kilang tu. Sebelum tu, aku agak pelik dengan motivasi “orang putih” tu nak meletupkan kilang tu. Menurut watak-watak tertentu, kononnya mereka tak mahu kita memiliki teknologi terkini yang bakal ditemukan dalam penyelidikan di kilang tersebut. Maka aku jadi hairan, siapakah “mereka” yang diwakili oleh “orang putih” berkenaan? Bergerak secara individu untuk kepentingan individu? Atau mewakili mana-mana “kumpulan pengganas” (bukan orang Islam saja yang jadi “pengganas” tau!)? Atau mewakili negaranya? Ish, takkanlah “negara” kot? Tapi itulah, persoalan yang aku tak tahu jawapannya (di”bantu” dengan hakikat bahawa aku tak ikuti siri ni dari MULA…).

Oh ya, berbalik kepada kenapa aku nak “tergelak” dengan babak kemuncak pengeboman tu. Okaylah, menurut mereka, bom yang dimasukkan secara “tersembunyi” tu memang canggih, pakai teknologi nano la apa lah, sehingga tak dapat dikesan oleh sekuriti kilang berkenaan.

Maka pada hari kilang berkenaan nak diletupkan, pasukan polis yang dikerah untuk mencari bom berkenaan (terima kasih pada maklumat “sabotaj” oleh siapa entah kepada Danial), wah, memang macam susah ja nak cari kat mana lokasi bom-bom berkenaan (ada banyak beb!). Terpaksa polis pakai robot pengesan bom nak cari bom ni. Wah, memang canggihlah tu!

Tapi di sini yang nak tergelaknya. Bom berkenaan, dijumpai oleh robot berkenaan, di tempat yang terbuka! Nampak besar pulak “objek” yang disyaki sebagai bom tu! Lah, kalau macam tu, pakai manusia pun boleh jumpa! Tak mengapalah, mungkin robot tu ada fungsi lain.

Ya, memang ada, dan di sini ada satu lagi yang boleh buat kita tergelak. Setelah menjumpai bom berkenaan, pasukan polis yang mengawal robot berkenaan menggunakan alat kawalan jauh, bersedia untuk memusnahkan bom berkenaan. Selepas berteriak “SATU! DUA! TIGA! TEMBAK!”, maka ditunjuk jarinya memicit sesuatu pada alat kawalan berkenaan, lepas tu terus tunjuk pada tempat robot dengan bom tadi, dan kelihatan bom berkenaan dah pun musnah! Hahaha, ni mesti kes tak ada bajet nak buat adegan tembakan ni! Bunyi tembakan/letupan kecil pun tarak!

Haha, aku tak sangka rupanya robot tu ada senjata! Eh, takkanlah macam itu cara skuad pemusnah bom memusnahkan bom? Dengan menembaknya? Aih, bukankah sepatutnya skuad ni merungkai dulu binaan bom berkenaan dan defuse bom berkenaan, tak kisahlah cara macam mana sekalipun, yang pasti takkanlah dengan menembaknya? Kalau dah namanya bom tu, bukankah kalau kita tembak, ia akan “membantu” bom berkenaan supaya lagi mau “meletup”? Hmm… suka hati pengarahlah agaknya ya?

Kemudian ada juga la dipapar di skrin, wah, kononnya mereka mengesan di mana lokasi bom berkenaan. Masalahnya, skrin berkenaan seolah langsung tak memberi makna! Kalau produksi Hollywoodlah sebagai contoh, biarpun paparan di skrin itu bohong, tapi sekurangnya mereka “cipta” seolah skrin berkenaan memang memaparkan informasi yang berkenaan, dan kita sebagai penonton pun sempat juga terbaca paparan tertentu yang dipaparkan. Kiranya nampak real la jugak “pembohongan” mereka tu.

Tapi tak mengapalah. Aku boleh tabik kat produksi drama ni, memang sungguh ambitious, bercita-cita tinggi.

Kesimpulan

Aku memang suka menonton drama ni. Serius. Aku suka kesudahannya yang gembira (happy ending), aku suka peleraian drama bersiri ni.

Untuk pengetahuan anda, banyak drama bersiri Melayu yang aku ikuti, yang memang aku suka dengan konsep dan ceritanya, tapi malangnya penutup atau episod akhir drama berkenaan memberikan ending yang hampeh lagi mengecewakan (banyak aku jumpa macam ni!), yang membuatkan kita “menyesal” kerana telah meluangkan masa (baca: MEMBUANG MASA) menonton puluhan episod siri berkenaan, hanya untuk dikecewakan pada akhirnya.

Tapi DINASTI BILUT ni antara yang tidak begitu. Aku suka episod akhirnya, dan aku suka dengan cara mereka “menyemai benih-benih sekuel”, maksud aku, mereka meletakkan asbab untuk mewajarkan mereka “menyambung” kisah ini andainya mendapat sambutan, dan ada bajet yang mencukupilah, dan pada masa yang sama tidak membuatkan cerita ini berakhir secara “tergantung”.

Antara “benih” yang aku maksudkan ialah timbulnya “kes” sabotaj yang baru, kali ini pada benih (hehe, kali ni betul-betul aku maksudkan BENIH la!) buah sawit klon yang pihak FELDA Holdings bangunkan. Benih-benih klon ini sudah disabotaj dengan cara dilemparkan “serbuk virus” (??) yang sekaligus merosakkan benih-benih berkenaan. Dan sekali lagi, Danial ditugaskan untuk menyiasat akan kejadian ini.

Satu lagi “benih sekuel” ialah, setelah sekian lama Shida menunggu Danial melamarnya, kali ini giliran Shida pulak buat Danial “menunggu” pulak (selama TIGA TAHUN), sebab Shida dapat tawaran ke Universiti, dan terpaksalah mereka “menunggu” Shida habis pengajian, baru boleh berkahwin (hoh, terbayang lagu “MENUNGGUMU” (lagu tema sinetron LIONTIN di TV3) nyanyian Ariel Peterpan dan Chrisye la pulak!).

Hmm… elok juga tu, kedua-dua asbab ini boleh “dikembangkan” dalam sekuel, seandainya ada lah. Terutamanya boleh buat konflik cinta tiga segi antara Shida dengan mana-mana teman sekuliahnya nanti, sementara Danial pula, sambil menyiasat kes “sabotaj” kedua tu, mungkin akan… err… hahha, aku tak tahu nak tulis skrip, jadi aku rasa penulis skrip profesional boleh buat skrip yang lebih “mantap” daripada apa yang aku fikirkan sekarang ni!

Oh ya, lagu “Merdeka” nyanyian Jay Jay (lirik dan lagu oleh Zul Mahat dan Loloq, tak pasti yang mana tulis lirik, yang mana tulis lagu) pun sesuai sebagai lagu tema drama bersiri ni. Dan aku paling suka dengan kredit endingnya, yang dimulakan dengan meminta penonton menyedekahkan Al-Fatihah kepada peneroka-peneroka yang sudah kembali ke rahmatuLlah, dan disusuli dengan sajak “Felda Sebuah Destinasi”, karya Tan Sri Dr Mohd Yusuf Noor (Pengerusi FELDA Holdings) dan dideklamasikannya sendiri. Oh ya, cerita BILUT/DINASTI BILUT inipun rupanya diilhamkan oleh beliau sendiri.

Pendek kata…

Pendek kata, memang banyak yang boleh diperkatakan tentang DINASTI BILUT ni. Dan aku menyesal sebab tak tengok siri ni dari awal, hahah! Iya la, ini drama yang ditayang di RTM1, jadi manalah aku boleh nak catch-up episod yang aku tertinggal di internet ka, di Youtube ka, hoh, jangan haraplah!

Pendek kata lagi, suka aku ulang bahawa memang aku sangat suka dengan drama bersiri ini. Malah bila aku menontonnya, aku rasa macam seperti tengah “membaca” (atau lebih tepat lagi “menonton”) novel bergerak. Memang aku rasa macam tengah baca novel.

Oh ya, memang tak hairanlah, skrip cerita ni pun memang ditulis oleh seorang novelis pun! Namanya Sharifah Abu Salem. Biarpun aku belum pernah membaca novel-novelnya, tapi namanya, menurut aku, cukup sinonim dengan “cerita Rosyam Nor”. Serius. Memang kebanyakan drama bersiri Rosyam Nor, mesti ada nama Sharifah Abu Salem ni.

Aku juga sokong kalau ada sambungan ke DINASTI BILUT 2 ka, janji kalau mereka boleh kekalkan stail macam ini, pasti aku akan tonton.

Oh ya, mulai 9 Januari 2008, slot ASTAKA PERDANA akan menayangkan siri baru pula, tajuknya ialah LEPASKAN KEMBALI AKU KE LAUT. Tengok dia punya iklan, rupanya ni cerita zaman sebelum kemerdekaan (amaran: PROPAGANDA lagilah nampaknya!).

Oh, rupanya ini merupakan adaptasi novel (tajuk yang sama) karya Shaari Isa. Aduh, “buta novel” betul aku ni rupanya. Khabarnya novel ni ada tiga jilid ya? Wow, bayangkan berapa banyak “topik” yang nak dicover, semestinya tak boleh nak diadaptasi kesemuanya dalam HANYA satu filem.

Sebab itu aku lebih suka kalau sesuatu karya novel tu diadaptasi ke drama bersiri dan bukannya filem. Di samping itu, boleh la orang yang “malas” nak baca novel “tebal-tebal” macam aku ni menikmati juga hasil karya novel tu kan! Kalau nasib baik, boleh jadi aku “tertarik” nak membeli (dan terus membeli) novel berkenaan setelah mendapati kisah yang dipaparkan dalam versi adaptasinya itu berjaya menarik perhatian aku.

Apahal pun, selamat menonton drama bersiri baru tu. Hidup drama Melayu, dan hidup novel Melayu!

7 thoughts on “Berakhirlah sudah Dinasti Bilut…

  1. Panjangnya. Tapi bermakna. Saya tak berkesempatan menonton drama ini secara penuh, dan ya, terpaksa berebut dengan adik yang sibuk nak tengok citer kat TV3 atau astro.

    Oleh kerana saya juga anak felda, maka saya berasa kerugian yang amat kerana tidak berkesempatan melihat jatuh bangun kehidupan peneroka secara penuh melalui drama ini. Namun, apa yang dipaparkan [melalui ulasan encik dan menonton drama ini sikit2], ya, drama ini memang benar dan baik untuk ditonton oleh generasi muda.

    Memperbaiki drama Melayu kita lebih baik daripada mengimport sinetron atau telenovela dari negara luar. Sinetron yang dipaparkan sekarang ni pun dah membosankan dan streotype.

  2. Minta maaf la sebab taip panjang²!😀😛

    Haha, maka betullah teori saya bahawa “sukar” untuk menonton RTM sebab nak kena berebut dengan orang lain yang nak tengok TV3. Macam zaman saya tinggal di asrama dulu pun macam tu jugak, susah nak tengok drama RAFFLESIA kat RTM2!

    Untuk pengetahuan, lepas tengok cerita ni, saya pulak rasa teringin nak jadi anak FELDA! 8)

    Dan macam saya kata, drama bersiri macam ni sebenarnya bagus untuk ditonton (oleh penggemar drama Melayu la, yang tak minat tu takleh kita paksa kan?), sebagai alternatif, bukan saja kepada sinetron (saya cakap sinetron saja sebab ini yang paling “mirip” dengan drama kita), malah juga kepada drama bersiri Melayu wannabe yang selalu TV3 dok tayang tu.

    Oh ya, jangan lupa ada juga Sinetron yang betul² “lari” dari stereotaip, contohnya sinetron KIAMAT SUDAH DEKAT dan DEMI MASA, yang diarahkan oleh Deddy Mizwar. Dia ni memang “genius”, hehe! Sayangnya stesen TV kita dok asyik impot sinetron lain, yang stereotaip tu.

    Sementara itu, kebanyakan drama bersiri kat TV3 tu cuma gah pada “hiasan” luaran saja, padahal ceritanya biasa saja pun, malah selalunya drama SAMARINDA TV3 la yang saya selalu “kecewa” dengan endingnya, sebab format SAMARINDA tu, kalau tak salah saya, mesti/wajib ada 25 episod. Maknanya produksi drama bersiri tu samada terpaksa meleretkan jalan cerita supaya cukup 25 episod (bagi yang dah tak ada idea), atau terpaksa rushkan endingnya pada episod 25 (bagi yang masih banyak idea tapi tak cukup ruang nak implimentasikan idea tu).

    Oh satu lagi saya anti drama JELAPANG ka JELATANG entah tajuknya tu!😛

    Pendek katalah, majulah drama Melayu. Adaptasilah dari karya² novel kita yang berkualiti. 8)

    P/S: Satu²nya drama SAMARINDA yang paling saya suka dan puas hati, sampai ke hari ni, ialah cerita KAMASUTRA lakonan Ahmad Idham dan Janet Khoo. Memang lain daripada yang lain, hehe…😉

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s