“Dig… dig… dig… Digimon! Digital Monsters! Digimon are the champions!”
Nah, begitulah berkumandangnya lagu tema siri animasi Digimon versi Amerika Syarikat. Bukanlah sebuah lagu tema yang seronok didengar, apatah lagi kalau nak dibandingkan dengan lagu tema asalnya dalam Bahasa Jepun (kalau siri yang pertamanya iaitu Digimon Adventure ada lagu ‘Butter-Fly‘ dan ‘Brave Heart‘), tapi sebab iramanya yang agak berulang dan catchy membuatkan muzik yang bersifat generik tu ada kalanya terngiang-ngiang jugak kat telinga peminat Digimon yang seorang ini, heh!
Sejak kemunculan siri anime pertamanya di dunia pada tahun 1999 (dah lebih sepuluh tahun dah rupanya!) dan di negara kita menerusi saluran NTV7 pada sekitar tahun 2001, siri animasi yang berdasarkan francais Digimon ini telah memiliki empat siri yang ditayangkan berturut-turut, bermula dengan siri Digimon Adventure yang diikuti dengan sekuelnya iaitu Digimon Adventure 02 (2000), seterusnya diikuti dengan siri baharu (bukan sambungan/kesinambungan) berjudul Digimon Tamers (2001) dan seterusnya diikuti dengan siri yang baharu juga (tiada kesinambungan iaitu Digimon Frontier (2002). Setelah menyepi selama empat tahun, pada tahun 2006, siri animasi Digimon kembali dengan format yang baharu dengan judul Digimon Savers (ataupun menurut judul versi Amerika Syarikatnya iaitu Digimon: Data Squad).
Dan selepas berakhirnya siri tu, maka Digimon pun kembali menyepi dari persada animasi. Siri-siri permainannya dan siri-siri permainan kad juga ada ketikanya naik dan laku di pasaran (terutamanya apabila munculnya siri animasi yang biasanya memang akan “mempromosikan” permainan tersebut dalam siri animasi mereka), begitu juga dengan siri-siri permainan videonya yang ada ketikanya muncul di persada konsol-konsol permainan. Dan memang benar, dari segi penceritaan dalam animasi, sememangnya boleh menang kat Digimon, tapi dari segi ketahanan produk, nampak gayanya ianya dimenangi oleh pesaing terdekat dan terhebatnya iaitu Pokémon!
Mungkin ramai yang lebih menganggap Pokémon lebih keanak-anakan berbanding Digimon, tapi tak dapat dinafikan, Pokémon masih lagi maintain tahap popularitinya, produksi produk-produknya juga masih konsisten, siri permainan videonya masih lagi diterbitkan dan sentiasa sahaja menguasai pasaran konsol-konsol handheld (daripada generasi pertama di konsol Game Boy sehinggalah ke generasi kelima di konsol Nintendo DS), sementara siri animasinya pula (yang bermula pada tahun 1997) masih belum tamat-tamat sehingga ke hari ini (dah lebih 600 lebih episod, dan dah 13 tahun, watak Ash Ketchum, yang asalnya sebaya dengan aku, masih lagi tak dewasa sepertimana aku sekarang, heheh!). Malah Pokémon ada laman sesawang rasminya sendiri (di samping puluhan laman sesawang peminat), sedangkan Digimon hanya ada laman sesawang rasmi untuk beberapa ketika sahaja (ketika sesuatu siri tengah ditayangkan), sementara komuniti peminatnyalah yang terus-menerus setia memastikan Digimon ni “hidup” di persada dunia.
Namun penantian demi penantian ini mungkin berbaloi memandangkan Digimon akan kembali lagi dengan siri animasi terbaharunya, untuk generasi baharu (iyalah, generasi yang menontonnya dulu dah “tua” dah sekarang ni, hehh!). Apakah nama siri terbaharunya ini?
Dikirim oleh Saladin Convoy 



