Animasi Saladin – Indah Khabar dari Rupa?

Dalam pos yang lalu, aku menceritakan “pengalaman” aku “bertemu” dengan projek animasi yang sungguh menarik perhatian aku, iaitu animasi SALADIN (pada saat aku pos entri ini, laman sesawang rasmi animasi Saladin tu tengah down). Ya, daripada pertama kali aku “terserempak” sehinggalah pada saat ini, pendirian aku terhadap projek ini banyak berubah.

20060601_saladin.jpg

Projek ini melalui beberapa perubahan yang menghairankan aku. Daripada filem animasi (seperti yang digambarkan dalam gambar di atas, ya, biarpun dia kata “The Animated Series”, tapi rekabentuk watak Saladin dalam siri animasinya tidak berjanggut macam tu), kini rupanya kita tahu bahawa projek ini mencakupi dua “fasa”. “Fasa” pertama ialah siri animasi sebanyak 13 episod, yang entah bila nak siap untuk ditayangkan tu, menceritakan zaman muda Saladin, sebelum menjadi pemimpin yang kita kenali sekarang. Dan “fasa” terakhir ialah filem animasi yang akan menceritakan Saladin pada zaman dia sudahpun menjadi Sultan dan mengetuai kaum Muslimin menentang keganasan tentera Salib. Dan menurut laman sesawang rasmi animasi Saladin tu, kelihatan seperti gambar di bawah inilah rekabentuk watak untuk siri animasi tu (perhatikan Saladin versi muda ni tak berjanggut).

saladin_animated_series.jpg

Ahah, akhirnya, pada tanggal 1 September 2007 (sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan Malaysia), Astro Ria akhirnya menayangkan buat pertama kalinya di stesen TV di Malaysia ini, DUA EPISOD TERAWAL siri animasi Saladin ini!

Ooops, nanti sat… DUA EPISOD SAHAJA?! Yep, TIGA kalau termasuk sekali dengan rancangan khas “di sebalik tabir” atau apa saja yang nak dipanggilnya tu, hoh!

Jadi, bagaimana dengan episod yang ditayangkan itu? Ya, bagaimanakah pandangan aku terhadap siri “Smallville” versi Saladin ini (sebab menceritakan zaman muda Saladin, sepertimana SMALLVILLE menceritakan zaman muda SUPERMAN), dan bagaimanakah perwatakan Saladin sepertimana yang digambarkan dalam siri tersebut, dan apakah yang membuatnya berubah menjadi Super… er, maksud aku SULTAN Saladin seperti yang kita kenal sekarang?

saladin_astroria-784436.jpg

Ya, seperti yang diiklankan menerusi poster (yang pastinya sudah difinalizekan tu) di atas tu (boleh klik di gambar tu untuk saiz yang sebenar/lebih besar). Perhatikan serban Saladin kelihatan lebih serabai, mungkin menunjukkan jiwa remajanya yang memberontak. Oh ya, versi yang aku tonton ini adalah versi Bahasa Melayu, maka ini bermakna siri ini juga bakal ada dalam versi Bahasa Inggeris.

Oops, nanti dulu! Jiwa memberontak?! Apa kejadah yang aku maksudkan? Ya, dalam usaha untuk memartabatkan dan menggemilangkan Saladin… ah, lupakan! Yang sebenarnya ialah dalam usaha untuk menarik perhatian orang muda (atau sebenarnya aku pun tak pasti apa tujuan penulis/pengarah cerita ni), mereka telah “meremajakan” watak Saladin. Oh tidak, bukannya remaja yang jenis yang beriman seperti yang biasanya dimiliki oleh orang hebat seperti ini (sepertimana yang kita baca dalam sejarah), tapi sebaliknya ialah remaja yang memiliki jiwa yang memberontak. Wah, kalau macam ini, aku lebih bagus daripada Saladin, sebab jiwa aku tak se”memberontak” seperti Saladin dalam kartun ni!

Hoho, apa yang aku cakapkan ni? Ha, dipersilakan membaca perenggan-perenggan berikutnya. Sekadar peringatan, perenggan berikutnya ini mempunyai ‘SPOILER’ kerana mempunyai plot atau jalan cerita yang mungkin akan men‘spoil’kan pengalaman anda ketika menonton cerita ini nanti (seandainya ditayangkan pada entah bila) sekiranya anda belum pernah dan ingin menontonnya lagi tapi sudah “ter”membacanya terlebih dahulu di sini. Okay, dah jelas? Kalau dah, jom kita teruskan!

Alkisah maka tersebutlah cerita…

…Di mana di sebuah perkampungan di Damsyik, Saladin yang ketika itu masih kanak-kanak ribena (hmm, setahu aku nama sebenar Saladin ialah Yusuf bin Ayyub, dan “Salahuddin” tu ialah gelarannya, tapi di sini dia sudah dipanggil “Saladin” sejak kecik!), sungguh bersemangat dan bercita-cita untuk menyertai tentera dan menjadi “hero” untuk menentang tentera Frank (salah satu daripada bangsa Eropah yang menyertai gagasan Tentera Salib). Kebetulan kampung tempat dia tinggal itu bakal diserang oleh tentera-tentera ini, maka semestinya setiap pemuda yang berada di situ akan berkewajipan untuk menjadi tentera pada ketika itu untuk mempertahankan negara dari ancaman musuh. Antara yang terlibat ialah abang kepada si Saladin ini. Dan Saladin sendiri, memandangkan dia masih kecil (dan belum aqil baligh la tu kot), maka terpaksalah dia berlindung di rumah sebab dia masih terkategori dalam golongan “kanak-kanak”.

Kemudian cerita ini melangkau ke sepuluh tahun kemudiannya. Si Saladin sudah remaja dan kelihatan sangat “berangin” (gambaran tipikal lagi klisé terhadap golongan remaja). Oh, rupanya abangnya, yang terlibat dalam perang, sepuluh tahun yang lalu tu, terkorban dalam perang tersebut. Saladin yang sangat mengagumi abangnya itu, sudah kehilangan tempat pautan, sekaligus kehilangan semangat dan jatidiri. Dia bukan saja sudah tidak bersemangat menjadi tentera sepertimana dirinya sepuluh tahun lalu (aku tak pasti sebab dia bersikap sebegini, mungkin sebab kematian abangnya, aku menghadapi kesukaran nak memahami dialog yang diucapkan oleh watak-watak dalam kartun ni, nanti aku bagitau sebabnya), malah sekarang sudah berani melawan cakap bapanya. Yep, inilah dia contoh anak muda yang “soleh”!

Dalam dialog “pertengkaran” antara Saladin dan bapanya, bapanya bertegas supaya Saladin menjadi seperti yang “ditakdirkan” ke atasnya, iaitu berlatih untuk menjadi tentera agar dapat memerangi tentera Salib dan membebaskan umat Islam (aku tambah ja bab “membebaskan” tu). Tapi Saladin yang dengan jiwa remaja memberontaknya tu (ceh!) pula dengan tegasnya membantah, dengan mengatakan bahawa dia “TAK MAHU MENERIMA TAKDIR YANG DITENTUKAN ORANG LAIN KE ATASNYA”, sebaliknya dia kata dia “BERHAK MENCARI HALUAN HIDUPNYA DAN MENENTUKAN “TAKDIR”NYA (destiny) SENDIRI” (apa kejadah?! Bunyi sebijik macam watak Clark Kent dalam siri SMALLVILLE).

Akhirnya, dia bertindak nekad untuk keluar (baca: LARI) dari rumah (ya, sepertimana remaja lain kalau dah tak sehaluan dengan bapa) untuk melihat dunia. Di sini kita berkenalan pula dengan watak sahabat baiknya yang diberi nama Tarik (bukan “Teh Tarik” atau “Tarik Tali” ya!). Menurut laman sesawang rasmi animasi Saladin ini sendiri, Tarik diberikan perwatakan yang pengecut dan suka menyelesaikan masalah secara aman (dengan membuat lawak bodoh di hadapan musuh berkenaan) daripada bergaduh. Kalau Saladin cekap menggunakan pedang (kononnya), dia ni pulak cekap guna busur dan anak panah (senjata “pengecut” la kot, jarak jauh, tak perlu bersemuka).

Apa peranan si sahabatnya Saladin ni? Ha, memandangkan mereka semua nak “lari dari rumah” dan mengembara (untuk mencari halatuju kononnya tu), maka mereka pun sibuklah mencari pedagang mana yang perlukan escort atau “khadam” untuk membawa barang dagangannya. Di sini kita akan perasan bahawa watak Tarik ni saling tak tumpah macam watak-watak ‘sidekick’ kepada watak ‘hero’ seperti yang selalu kita tengok dalam kartun-kartun Disney tu. Aaa… nanti aku ulas lagi pasal “kartun Disney” ni.

Alkisah lagi mereka terserempak dengan watak protagonis ketiga dalam siri ini, iaitu Anisa. Menurut biodata “rasmi”nya, Anisa yang kelihatan seperti gadis ‘Gypsy‘ ni merupakan seorang “penyeluk saku, pencuri dan penipu” (uih, memang contoh tauladan yang perlu dicontohi, syabas!).

Entah macam mana, Saladin, Tarik dan Anisa ni terjebak dengan sebuah komplot nak mencuri batu permata apa entah yang sangat berharga. Seorang penjahat ni telah mengupah Anisa supaya mencuri batu berkenaan dari seorang saudagar (yang sebelumnya pernah menolak untuk menerima tawaran Saladin dan Tarik untuk menemaninya berekspedisi membawa barang dagangan ke luar Damsyik). Tatkala Anisa berjaya melarikan batu berkenaan, maka dicubanya untuk dihalang oleh Saladin dan Tarik.

Akibatnya berlakulah pertembungan dan terbongkarlah konspirasi yang lebih besar. Maka kelucuan pun berlaku, dan kita boleh lihat babak-babak aksi yang lawak tak ubah macam yang kita tengok dalam filem animasi Disney’s Aladdin ataupun filem animasi Sinbad: Legend of the Seven Seas (lakonan suara Brad Pitt tu). Saladin lawan penjahat, Tarik buat lawak sambil lari dari penjahat, Anisa curi batu tapi belot tak mau serah kepada orang yang mengupahnya… benda-benda macam ni memang kerap kita tonton dalam cerita kartun Disney, kan?

Akhirnya Saladin dan Tarik berjaya menyelamatkan keadaan dan saudagar berkenaan bersetuju menerima khidmat mereka berdua. Maka sebelum berangkat, akhirnya si bapa Saladin pun merestui (baca: MENGALAH) keputusan yang diambil oleh Saladin ni (ha, biasalah, dalam cerita macam ni, jiwa anak yang memberontak biasanya akan berjaya menumpaskan bapa yang biasanya akan digambarkan sebagai tegas dan tak menerima pandangan orang lain). Keputusan apa? Keputusan “nak cari halatuju” tu!

Maka sebagai tanda perestuan, “dianugerahkannya” si Saladin tu dengan sebilah pedang turun-temurun keluarga mereka. Pedang yang sama ini juga pernah digunakan oleh abangnya sebelum terkorban sepuluh tahun sebelum itu. Maka dengan bangganya Saladin menghunuskan pedang yang bercabang dua di hujung tu. Hah, pedangnya tu sebijik macam pedang ‘ZULFIQAR’ yang pernah digunakan oleh Rasulullah SAW sebelum diperturunkan pada Saidina Ali RA. Aiii? Sejak bila keturunan keluarga “Saladin” ni boleh mewarisi dan memilik pedang Zulfiqar ni?

Maka tamatlah episod satu. Dan aku seterusnya tak tengok pun episod kedua, hoho!

Ada apa dengan Saladin?

Komen aku pasal animasi ini? Terus-terang dan dengan jujurnya aku cakap, aku tersangat, sangat-sangat, sangat kecewa dengan animasi ini. Dalam bahasa mudahnya; HAMPEH! Sangat-sangat tidak seperti yang aku harapkan. Apahal pun inilah akibatnya kalau harapan/expectation tu tinggi sangat, memang kalau “jatuh” (kecewa) tu mesti merudum punya! Banyak kali dah aku terkena cara macam ni, huhu…

Ya, benar, memang kita dok dengar filem ni banyak kali menang anugerah. Anugerah “Tokyo Big Sight Award” di Pesta Anime Antarabangsa Tokyo 2007 (anime tu!). Kita tau kerajaan melalui MOSTI, MSC dan MDeC dah belanja entah berapa juta ringgit untuk projek ini. Tapi ini tidak bermakna ianya akan bagus kalau dah memang ianya “hampeh”. Izinkan aku menyenaraikan apa yang “hampeh”nya kartun ini.

KUALITI ANIMASI
Sekali tengok, memang nampak macam bagus kualiti animasi kartun ni. Tapi macam aku kata la, “SEKALI TENGOK”! Nah, tengok betul-betul. Kualiti animasi pada episod pertama yang aku tengok, sangatlah tidak lancar. Ada beberapa babak kelihatan macam watak tu tengah kena geletek, sebab nampak “terloncat-loncat” sangat. Ya la, siapalah aku nak pertikai hasil kerja orang dari segi teknikal kan? Tapi dah pengalaman tengok kartun berbelas tahun tu, boleh jugak la menilai elok atau tak elok.

Namun tak mengapalah. Mungkin juga animasi yang disiarkan tu masih belum betul-betul ‘clean’. Biasalah tu, nanti mereka boleh betulkan lagi. Ataupun aku mengambil sikap untuk tidak membandingkan dengan produksi Barat atau Jepun. Sudah semestinyalah kan animasi mereka, secara umumnya, lebih kelihatan berkualiti. Jadi, kalau kita dapat atasi kualiti mereka, itu lagi bagus lah kan? Tapi kalau capai sedikit pun, kira okay lah.

Cuma, masalahnya, dengan jutaan ringgit yang dilaburkan, dan apabila dibandingkan dengan sebuah lagi animasi 3D produksi tempatan (nanti aku ulas pasal animasi ni, tapi klunya ialah, pernah ditayang setiap hari waktu berbuka di TV9 sekitar Ramadhan lalu, hehe…), kelihatan kualiti animasi “yang lagi satu” tu nampak lebih elok. Apatah lagi dengan ‘low-profile’nya produksi berkenaan (berbanding Saladin yang lebih dipuji bagai nak rak), maka mahu juga mempersoalkan, berbaloikah duit yang dicurahkan dengan kualiti yang dipersembahkan.

Oh ya, aku juga kecewa dengan rekabentuk watak-watak dalam animasi ni. Terlampau ke”Disney”an. Muka “Saladin” ni sebijik macam muka “Aladdin” kartun Disney tu (sementara Saladin versi dewasa yang dah berjanggut tu pulak macam muka watak Sinbad dalam filem animasi lakonan suara Brad Pitt dan Angelina Jolie… aik, macam janji ja depa berdua ni!). Sementara watak Tarik tu pulak mengingatkan aku pada watak monyet dalam kartun Aladdin tu, apa nama dia? Aboo? Ha, dia la tu!

Apa tak ada rekabentuk yang lebih original atau bersifat tempatan ka? Kita nak tengok “kartun Malaysia”. Kalau nak tengok “kartun Disney”, dah berlambak dah di pasaran tu!

JALAN CERITA
Terus-terang aku cakap, jalan cerita macam ini adalah merupakan “kitar semula” bagi animasi yang selalu kita tengok di TV, terutamanya yang dibuat oleh Disney tu. Aku rasa dalam banyak-banyak animasi terbitan tempatan yang lain, memang banyak yang menampilkan jalan cerita yang, biarpun tidak begitu original, tapi jauh lebih menarik daripada yang dipaparkan dalam satu episod kartun Saladin ni.

Sementara animasi tempatan kita yang lain bersifat “Malaysia” dan “tempatan”, animasi Saladin ni hanyalah sebuah “wannabe” animasi Barat. Dah la wannabe, tak jadi pulak tu! Dah tu, nak kata animasi tempatan pun tak boleh juga, sebab sifatnya tak ada langsung. Seolah macam penulis skrip kartun Disney “reject” mana entah yang mereka upah untuk tulis skrip dan dialog cerita ni. Ha, inilah dia lagi antara sebab utama masalah ini, selain daripada dari segi jalan cerita, iaitu dari segi dialog.

DIALOG
Ha, aku ada cakap tadi yang ditayangkan tu versi Bahasa Melayu kan? Kemudiannya aku jugak ada tersebut sikit mengenai masalah untuk memahami dengan jelas dialog yang diucapkan oleh setiap watak. Nak tahu sebab apa?

Sebabnya ialah siri animasi ni, dan aku memang pasti, diterbitkan secara defaultnya dalam BAHASA INGGERIS! Maksud aku ialah, skrip dan dialog cerita ni secara aslinya adalah dalam Bahasa Inggeris. Nak tahu macam mana aku boleh tahu ini? Sebab watak-watak dalam cerita ini bertutur dalam Bahasa Melayu, tapi menggunakan struktur ayat Bahasa Inggeris! Kita tahu kan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris struktur ayatnya JAUH berbeza. Tapi ini la yang berlaku.

Cuba bayangkan seorang “mat saleh” yang fasih dari segi sebutan tapi lemah dari pembinaan ayat, cuba bercakap Bahasa Melayu. Cuba bayangkan kalau kita terjemah bulat-bulat ayat dari Bahasa Inggeris TERUS ke Bahasa Melayu tanpa sebarang penyesuaian yang dibuat agar kelihatan seperti dialog Bahasa Melayu yang normal. Anda akan mendapat hasilnya iaitu kualiti dialog dalam kartun Saladin ni, hehe!

Nah, itu yang sedihnya ni. Ini produksi tempatan. Tapi sayangnya dibina dengan minda barat. Maksud aku ialah dibina dengan berorientasikan “animasi barat” (memang dasar “wannabe”). Ya memanglah nak dipasarkan ke antarabangsa (kononnya) maka penggunaan Bahasa Inggeris adalah perlu (kononnya juga). Kalau nak buat dalam Bahasa Inggeris seratus peratus terus pun lagi bagus, buat la, tak kisah punya. Tapi kalau dah ada hati nak buat dalam Bahasa Melayu jugak tu, sekurang-kurangnya TOLONGLAH buat dialog yang bersesuaian!

Anda bayangkan anda sedang menonton kartun Amerika yang ditayangkan di TV9, yang dialihsuara ke Bahasa Melayu. Nah, macam tu la rasanya menonton kartun Saladin ni. Tang mana nak rasa macam produksi Malaysia ni? Rasa macam tengok kartun “omputeh” yang didub ke Bahasa Melayu pulak tu! Padahal kualiti dubbing terhadap kartun orang putih tu jauh lebih bagus daripada kualiti dialog dan lakonan suara untuk kartun Saladin ni.

Kalau anda tonton kartun Saladin ni, anda akan dapati cubaan buat lawak oleh watak tertentu dalam kartun ni tidak akan menjadi, malah akan rasa seperti ada yang tak kena. Sebabnya ialah lawak berkenaan hanya akan jadi “kelakar” kalau dituturkan dalam Bahasa Inggeris. Lawak macam tu tak akan berkesan kalau diterjemah secara bulat-bulat ke dalam Bahasa Melayu. Aku tak reti nak bagi gambaran macam mana, tapi kalau anda layan dan faham benar macam mana lawak dalam Bahasa Inggeris beroperasi, maka mungkin anda dapat faham apa yang aku maksudkan. Maka kita kalau nak tengok kartun Saladin ni, kita kena set minda kita agar menjadi penterjemah ke Bahasa Inggeris. Dengan cara itu saja kita akan faham bukan saja lawaknya, malah keseluruhan dialog dalam kartun ni.

Ni yang buat aku sedih ni. Animasi Malaysia yang mengetepikan bahasa kebangsaannya sendiri. Teringat aku pada kartun KAMPUNG BOY, sama juga halnya. Nama saja kartun Malaysia kononnya, padahal bukannya dianimasikan atau diterbitkan di sini pun! Cuma pakai rekabentuk watak Lat, dan dibuat dengan berorientasikan Bahasa Inggeris jugak! Dialog Bahasa Melayu hanyalah sekadar dialog dub, diterjemah bulat-bulat ke dalam Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris. Oh, terlupa pulak, KAMPUNG BOY diterbitkan oleh produksi luar negara terus, bukannya terbitan tempatan! Tak apa la jugak kan? Tapi Saladin ni dihebahkan sebagai produksi ANAK MALAYSIA!

LAKONAN SUARA
Lakonan suara pun hambar. Nazruddin Rahman (Abang Naz, yang sekarang jadi hos THE BREAKFAST SHOW tu), dia yang buat suara Saladin. Tapi aku tak pasti sama ada dia buat untuk kedua-dua versi atau hanya untuk versi Bahasa Inggeris (yang lebih diutamakan tu!).

Lakonan suara Saladin dan kesemua watak dalam kartun ni “tidak mengena” kerana yang paling utamanya ialah berpunca daripada kualiti “terjemahan” untuk dialog mereka. Kalau dah cakap Melayu pakai uslub Inggeris tu, mana nak datang ‘feel’nya? Pernah tengok iklan INDAH WATER? Dialog “aku tengah minum ni kau cakap pasal tandas”? Perasan kan nada mamat tu cakap dalam iklan tu tak kena? Sebab intonasi sebegitu hanya sesuai untuk ayat dalam Bahasa Inggeris (seperti dalam iklan yang sama versi Bahasa Inggeris). Ha, macam itulah kedengarannya dialog-dialog dalam kartun ni.

Kemudian ada la satu watak tu, pelakon suaranya, bagi yang peka, memang akan perasan bahawa kita pernah dengar suaranya dalam iklan-iklan di TV. Ya, pelakon suara untuk produk dalam iklan TV. Boleh bayangkan nada suara yang mempromosi dan menceritakan faedah produk yang diiklankan tu? Contohnya iklan susu Dumex, dia cerita habis ada Enfagrow la, vitamin ABC pa semua tu ada belaka. Ha, nada dan intonasi yang sama jugak yang dia pakai untuk lakonan suaranya. Akibatnya kita bukannya dengar dia “bercakap”, tapi seperti dengar iklan! Kesimpulannya, suara macam ini akan kedengaran monotonous, tak ada emosi, macam dengar robot yang bercakap.

Terus terang cakap, siri animasi Malaysia yang “cikai” macam yang kita dok tengok kat TV kita tu, yang bajet rendah tu, lagi memiliki “emosi” daripada kartun Saladin ni.

LAIN-LAIN
Sebagai orang Islam pula, aku jadi bertambah kecewa dengan kartun Saladin ni. Kononnya nak angkat tokoh orang Islam yang terkemuka. Tapi apa kejadahnya tak ada sorang pun dalam kartun ni yang hidup atau berkelakuan seperti seorang Muslim pun?

Untuk pengetahuan, sepanjang aku menonton episod pertama tu (episod kedua aku tak tengok jadi aku tak tau), tak pernah SEKALIPUN aku dengar ada mana-mana watak ucap “Assalamu`alaikum” pada orang lain. Saladin balik rumah pun cakap “hai, saya dah balik” (ni mesti terjemah dari dialog asal iaitu “hi, I’m home”).

Kalimah ALLAH tu jauh sekali la, tak pernah dengar pun. Aku faham la kot-kot kalau dialog dalam Bahasa Inggeris, mungkin kalimah tu diganti dengan perkataan GOD (maksud sama juga), atau mungkin nak jaga “sensitiviti” agama lain la kononnya kot. Tak apalah, kita “beralah”. Tapi ini versi Bahasa Melayu, jadi apakah salahnya menyebut ALLAH instead of TUHAN? Kan semua watak dalam kartun tu Muslim? Jadi secara kebiasaannya seorang Muslim akan sebut ALLAH untuk merujuk pada TUHAN. Ni nak jaga hati sapa pulak la ni? Nak sebut ALLAH pun berat sangat ka?

Hmm… tak kisah la, bagi orang lain mungkin ni hal kecik ja, tapi bagi aku ni hal agak serius. Lainlah kalau kartun ni menampilkan tokoh “fiksyen” atau “dongengan” lain. Tapi, macam aku kata tadi, ini tokoh yang benar-benar wujud. Tokoh Muslim pulak tu. Nama dia memang, secara lumrahnya, sinonim dengan Islam. Jadi tindakan sebegini sangat tidak wajar.

Paling tak tahan tu, pada penghujung kredit tu (iaitu ketika terpaparnya nama pelakon suara, nama kru dan sebagainya tu), lepas terpaparnya logo MOSTI tu, terpampang, dengan “bangganya” la tu, kalimah “BUATAN MALAYSIA”. Adoi, ni nak kata apa ni? Tak sanggup pulak nak gelar “poyo”, tapi apa perlukah kita selalu sangat jaja kepada dunia bahawa kita ni “BOLEH” la, itu la ini la? Sedangkan kualiti tak seberapa, harap “sorak” ja yang lebih, tak ada rasa rendah diri (baca: TAK MALU) ka?

Pernah ka kita tengok pada kredit penutup animasi terbitan Barat atau Jepun atau Korea atau negara-negara lain punya animasi, yang dihujungnya terpapar (dengan “poyo”nya) kalimah “Made in USA/Japan/Korea/etc”?

Kesimpulan

Maka kesimpulannya, berdasarkan poin-poin aku di atas, maka aku mengatakan aku “tidak bersetuju” dengan animasi ini. Tak ada markah atau pujian yang boleh aku bagi.

Yang aku nampak ialah akibat daripada terlampau ingin mendapat pengiktirafan daripada Barat (melalui “pembaratan” watak dan dialog dalam kartun Saladin ni), serta keinginan yang mendalam untuk “menjulang” kalimah “BOLEH” kita, sepertimana “projek-projek mega” kita yang lain yang di‘sugar-coat’kan sebagai hebat dan berkualiti tinggi dan bertaraf dunia, sedangkan hasilnya cuma “kulit” saja yang lebih… isi tarak!

Anda boleh cuba cari di Youtube, tonton dua episod terawal siri kartun ni, dan nilai sendiri. Bagi aku sendiri, bak kata orang putih, “I’m not impressed”

33 thoughts on “Animasi Saladin – Indah Khabar dari Rupa?

  1. Pingback: Malaysia buat animasi Saladin? « Saladin Convoy

  2. Pingback: Tagged!! You’re IT!!! « Saladin Convoy

  3. Pingback: Aku suka tengok drama Arab! « Saladin Convoy

  4. weh…..ko mmg ada hak tuk bersuara..
    tpi ada btasnya..
    kesian la kat budak produksi cter ni..
    diaorg wat keje ikt penerbit..
    penerbit ckp a..
    diaorg kuar kn a..
    penerbit org tua..
    tukang wat keje,3d animater,3d artis and bla2..
    umur lebih kurang 20-28 je..mentah lagi..
    taste lain2..
    penerbit ske yang cam ni..
    org yang wat x ske..
    sbb diaorg tau apa yang org nk..
    tpi penerbit tau ker?
    so..
    ko x leh slah kn kualiti animasi+jln citer and bla2..
    sbb tu semua t’letak kat tgn pnrbit..
    cbe ko byg kn klau org yng bekerja keras tuk wat animasi saladin ni baca apa yng ko tulis..
    x terguris ke persaan diaorg.
    aku pon pnh gk wat keje sbgai 3d animater,,,kte x de hak nk bersuara..
    just wat keje..
    dh siap..
    klau kne komen..
    just ubh ikt ape yang penerbit komen..
    e2 je..
    xleh nk tmbh or nk tolak apa yang bg kte x kne..
    k..
    yg upin dan ipin tu..
    Lescopaque tu..
    dari org yang kuar kn duit n sampai yang wat cter tu..
    semua umur lebih kurang sbb kbykn budak2 u..
    so..
    mmg la hasil dia bgs..
    ko kne phm apa yang aku ckp..
    tpi aku ucapkn taniah atas kritikan ko nih..
    bernas..

  5. Ahaa, terima kasih atas keprihatinan anda casanova. 8)

    Masalah faham atau tidak itu tidak timbul. Jangan jadi macam pengarah filem Malaysia, buat filem entah apa², pastu tak tahan, cepat panas telinga apabila orang kritik. Bahkan menyalahkan pulak pengkritik, mencabar pengkritik suruh buat filem lagi bagus. Eiih, itu BUKAN kerja pengkritik!

    Nak kesian kat budak produksi pun, mereka dibayar untuk kerja mereka kan? Aku tetap juga tak dapat apa², melainkan kepuasan menyampaikan isi hati aku, betul tak? ;) Lain la kalau mereka dizalimi oleh pihak penerbitan mereka, tak dibayar gaji tapi dikerah kerja overtime ka, haa… itu aku tak tahu. Kalau ada, kenalah adukan pada pihak berwajib.

    Memang aku sebetulnya mengkritik PENERBIT atau mereka yang mencetuskan idea nak buat cerita ini, sebab melalui pihak inilah bermulanya kerja² nak membikin cerita ini. Buat apa aku nak kritik tukang² animator, mereka, seperti yang anda katakan tadi, buat kerja ikut arahan kan?

    Kalau anda perhatikan, aspek kualiti animasi (yang pastinya melibatkan kerja² animator) amat sedikit aku sentuh, dan aku sebetulnya dan sememangnya TAK BERPUAS HATI dengan keseluruhan cerita ini dari segi JALAN CERITA dan STAILnya (yang kebaratan), bukannya kualiti animasi. Dan aku sendiri nak menegaskan, KUALITI ANIMASI akan jadi TAK PENTING kalau aspek lainnya (jalan cerita, skrip, lakonan suara) baik.

    Macam aku katakan tadi, aku sentuh bab kualiti animasi tadi cuma seciput saja. Aku sememangnya tak puas hati dengan tema dan jalan cerita beserta cara cerita ini disampaikan. Aku bertambah tak puas hati apabila mereka “merosakkan” latar belakang seorang tokoh Islam yang terbilang, dengan “meremajakan” kisah hidupnya (semua orang tahu kan resepi “drama” remaja acuan barat? Memberontak terhadap ibu bapa? Ya, ini yang berlaku dalam animasi SALADIN EPISOD PERTAMA!).

    Aku tak kisah kalau mereka nak buat kisah ALADDIN ka, SARDIN ka, ALABALADIN NAIK MOTOR TAKDA ENJIN ka. Tapi mereka mengambil tokoh sebenar daripada kisah sejarah, tokoh ISLAM pulak tu, pastu “merosakkan” cerita sebegitu rupa? Tak ada roh Islam langsung. Kalimah Allah langsung tak kedengaran. Ini yang aku tak suka. Kalau animasinya bertaraf Disney atau Anime pun, aku tetap tak akan suka kalau yang menjadi “korban” ialah nama tokoh kegemaran aku yang dijadikan hero dalam animasi berkenaan, apatah lagi tokoh itu ialah tokoh ISLAM.

    Maka, kalau anda baca betul², aku tak puas hati dengan “kualiti” produk ini secara keseluruhannya (jalan cerita, skrip, dialog, watak perwatakan), dan bukannya pada aspek “animasi” saja.

    Hehe, animasi cara KELUANG MAN pun (kini ditayang semula setiap Sabtu dan Ahad jam 7 malam di TV9), aku layan, sebab jalan ceritanya menarik! Dah tak nampak dah “kelemahan” ketara dari segi kualiti animasinya sebab jalan ceritanya yang menarik itu sudah “menenggelamkannya”… :mrgreen:

    Oh, pasal UPIN & IPIN tu, anda “kurang tepat”. Dalam “team” mereka tu, ada juga yang berumur 50an (kalau tak salah la). Tapi itu tetap tidak menghalang mereka untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti dan lebih menghiburkan, kan? Kenapa agaknya ek? Sedangkan mereka ini lagi la kurang didedahkan publisitinya berbanding animasi SALADIN!

    Oh, aku rasa inilah puncanya! Mereka tidak dibebankan dengan segunung harapan oleh kerajaan Malaysia agar menjadi animasi 3D yang terhebat di Malaysia, untuk ditonjolkan kepada masyarakat dunia… untuk kempen MALAYSIA BOLEH tu laaa! Tak seperti “team” SALADIN, yang aku rasa mesti tertekan, kena pulak terpaksa rush dateline untuk menunjukkan produk, yang sedikit sebanyak akan mengkompromikan mutu produk akhir tu. Ini spekulasi saja no? 8)

  6. salam…aku tak bersetuju dengan kritikan2 yang ko bagi ni ,walau macam mane pun ni ada lah satu hasil animasi dari anak2 malaysia sendiri..
    ko nak kritik yang teruk2 tapi ko sendiri yang tak mengetahui cara pembuatan animasi ini dilakukan…
    aku bangga dengan pencapaian budak2 yang buat animasi ni sekurang-kurangnya mereka hebat walau pun ade kekurangnya..dan segala proses cerita ini bukannya datang dari satu pihak sahaja,komen dan kritikan baik untuk sesebuah terbitan tapi kena ada had dan cara untuk mengkritik bukan menjatuhkan filem negara sendiri.
    aku sebagai anak seni dalam animasi tak bersetuju dengan ape yang ko luahkan ini..
    animasi negara akan lebih berjaya dan akan lebih berkualiti dengan semangat dan pembelajaran yang baik dan ini akan dapat memperbaiki lagi kualiti animasi yang dilakukan.

    • sy setuju ngan pendapat tuan/puan yg menyokong industri filem 3D negara kita.kalau pandai cakap,pegi ar tolong baiki mane yg rase salah dan lemah.ini x puas ati cakap kat sini je…tangan yang bekerja lebih baik dari mulut yang mengata (peribahasa arab).sekian.tq

  7. dila:
    Saya setuju untuk tidak bersetuju dengan anda. Kita manusia kan berbeza² pemikiran dan pendapat? Kita bebas untuk berbeza pendapat (asal jangan melibatkan soal aqidah). 8)

    Pertama, tak menjatuhkan pun filem negara sendiri. Bahkan saya ni penyokong filem negara. Tapi kena pilih² la sikit. ;)

    Kedua, saya sebetulnya rasa lebih berbangga dengan projek animasi 3D lain yang sedang diusahakan oleh anak tempatan kita. Nak tahu apa tajuknya?

    Tajuknya ialah GENG. Tak pernah dengar? Tak mengapa, tapi anda mungkin pernah dengar siri UPIN & IPIN kan? Haa, siri tu sebetulnya adalah siri spin-off bagi filem animasi GENG tu. Ini dia blog rasmi mereka. Saya belum ada kesempatan nak tulis pasal mereka ni, tapi alang², saya “promosikanlah” mereka di blog ni kat sini, heheh!

    Untuk pengetahuan, saya bangga dengan animasi ni. Paling berbangga. Kalau nak diikutkan, saya bangga dengan semua animasi Malaysia, dari yang selekeh²nya (berlambak kat RTM) sehinggalah yang sehebat²nya. USOP SONTORIAN, KELUANG MAN, KACANG, DANIEL, KATAK OH KATAK, ODISI DI CAKERAWALA, SANG WIRA, BADANG, SILAT LEGENDA, sebut saja tajuk²nya yang ingat dan lupa, semua saya suka.

    Tapi, rasanya buat masa sekarang ni, GENG (dan UPIN & IPIN) la yang paling saya nak bangga. Kenapa? Selain daripada grafik yang cantik (tapi perlu diingat, ini sebab sekunder saja), saya nampak jalan ceritanya juga menarik.

    Namun yang paling utama yang buat kita nak bangga dengan animasi kita ialah sekiranya animasi kita itu dapat memaparkan budaya bangsa dan negara kita dengan baik. Tunjukkan suasana kampung sebagai contohnya. Nah, kalau itu berjaya dilaksanakan, barulah kita boleh dengan bangganya berbangga, heheh… Dan itu yang berjaya ditonjolkan oleh animasi² lain, UPIN & IPIN terutamanya menonjolkan dengan jayanya.

    Lalu mari kita tengok balik pada animasi SALADIN:

    1) Apakah ia memaparkan budaya kita?
    Tidak.

    2) Apakah ia memaparkan budaya asing?
    Ya.

    3) Budaya apa yang ia paparkan?
    Kononnya budaya Arab Islam.

    4) Apakah ia memaparkannya dengan baik?
    Berdasarkan satu episod yang saya tengok, ternyata tidak. Malah selaku orang Islam, saya rasa terhina pula. Cuba baca entri saya untuk mencari apakah bahagian yang tak Islamiknya.

    5) Jalan atau stail ceritanya?
    Terlampau keDISNEYan. Juga bukan budaya kita.

    6) Dialog Bahasa Melayunya?
    Hancur, sebab mereka menganimasikan siri SALADIN tu dengan bermindakan Bahasa Inggeris. Maksud saya, mereka buat siri tu dalam Bahasa Inggeris terlebih dahulu, kemudian barulah diterjemah ke Bahasa Melayu. Akibatnya, dialog BMnya (terutamanya dialog “komedi”) jadi serba tak kena sebab berbunyi keinggerisan. Macam ini ka siri animasi Malaysia yang nak dibanggakan kalau nampak macam kurang yakin dengan bahasa Kebangsaan?

    7) Kualiti animasi?
    Setakat yang saya tonton dalam episod pertama waktu ditayangkan setahun yang lalu, boleh tahan juga. Tapi malangnya siri UPIN & IPIN dah jauh “meninggalkan” dan berjaya mengalahkan SALADIN dari aspek itu. Apapun, mungkin mereka boleh improve dalam masa setahun ni. Lagipulak, mungkin episod pertama dan kedua tu mereka rush untuk disiapkan sebab nak cepat² ditayangkan. Dan, macam saya kata tadi, ini faktor sekunder buat saya, sebab saya lebih mementingkan jalan cerita daripada kualiti animasinya.

    Berdasarkan “hujah²” saya tadi, maka saya tetap dengan pendirian saya. Saya tak menjatuhkan filem Malaysia (wah, bilamasa saya buat macam itu?), cuma saya sedikit “kecewa” dengan SALADIN versi kita tu. Hey, tengok la nama saya pun pakai “SALADIN”, sebab saya pengkagum tokoh bersejarah ni, mestilah saya kecewa kalau peribadi tokoh sanjungan saya ni “dirosakkan” oleh siri animasi ini (pun saya ada cerita dalam entri ni).

    Jadi, atas sebab² ini, maka saya rasa tak ada apa yang boleh saya kagumi sangat dengan projek animasi ni. Mengangkat tokoh sejarah tempatan? Tak pun. Lain la kalau dibuat filem animasi pasal HANG TUAH ka, haa, itu boleh gak saya pertimbangkan. Pastu, yang diangkat tu tokoh Islam, apakah diangkat dengan baik? Tak jugak.

    Namun saya tetap boleh berbangga jugaklah sekiranya (SEANDAINYA) filem ni boleh memartabatkan negara kita dalam arena filem animasi sedunia. Tapi, alangkah lebih “manis” kalau orang dunia kagum dengan filem animasi kita yang mengangkat tokoh² sejarah negara kita sendiri. Dan kalau nak angkat tokoh sejarah Islam macam Saladin tu pun, buatlah betul², kaji sejarahnya baik². Janganlah “difiksyenkan” sampai tersasar jauh daripada peribadi sebenar tokoh tu (ni saya baca dari sinopsis kat laman web rasmi mereka sendiri tau? Namun sekarang laman tu tengah dikemaskini jadi tak ada apa² maklumat yang dipaparkan di situ buat masa ni, sehinggalah 10 Disember 2008 nanti).

    Akhir kata, majulah animasi untuk negara. 8)

    • ya. awk bnar. sya pun tak mnemukan karakter islam dalam kisah saladin versi animasi ini. klau qt tengok poster saladin yg berjanggut dan triler kat yutub nampak bagus sangat la. tapi siri episode nya sngat jauh dari bayangan, tak ada nilai2 islam.
      dibandingkan dengan upin ipin, saladin jauh tertinggal.

  8. kepada perkritik smua.. xkira la yg membangun atau menjatuh atau sebaliknye.. di syorkan baca kisah seribu satu malam.. baru tau sape tiru sapa sebenarnye… cite mat saleh banyak diambil dari kisah dan citer org islam… tu je aku nk g tau.. aladin ke ali baba ker.. baru leh tau asal citer tu dari sape… tq…

  9. saladin animated series ni first sekali yang bagi aku tersangat slack nya adalah rupa dia. Apasal mamat tu nampak chinese sangat.. serban selekeh.. hilang jiwa Saladin Ayub yang kita baca selama ni..

    saya setuju dengan kritikan keras Saladin Convoy. Memang patut dikritik memandangkan cerita ini menelan belanja puluhan juta ringgit! kalau Saladin quality macam ni hanya telan belanja 3 juta, memang aku cakap best la.. tapi puluhan juta..!!

  10. salam. Saya da tengok saladin the animated siries yg di tayangkan dekat astro tu. Bukan tujuan nak menjatuhkan siapa-siapa tapi secara jujurnya, animasi itu memang tidak bercirikan islam. Pada salah satu babak di mana saladin berlawan dengan penjahat di atas bumbung semasa ingin menyelamatkan Anisa. Sekali tengok macam cerita roobin hood pon ade. Tak tau la nak cakap macam mana. Kalau nak di bandingkan dengan cartoon ‘Muhammad Utusan Terakhir’, memang jauh bezanya. Saya masih boleh menerima ‘Muhammad Utusan Terakhir’ yg mana kita ciri2 islam amat2 ditonjolkan dalam filem tersebut memandangkan penceritaannya lebih kepada sejarah penyebaran islam di kota mekah. Melihat kepada trailer SALADIN the animated siries yg

  11. ….lebih dewasa(3D), masih ada harapan yg boleh di letakkan di situ. Dari situ, saya dapat lihat plot penceritaannya lebih kepada perjuangan saladin menentang tentera bersalib dan peperangan yg berlaku antara tentera islam dan tentera bersalib. Harapan di sini, semoga filem tersebut benar2 menjadi sebuah filem anime islam yg mampu memartabatkan agama islam di mata dunia sekaligus menaikkan semangat kita untuk terus memperjuangkan islam. Wallahualam….

  12. kepada pengiat-pengiat animasi malaysia,fikir-fikirkan lah jangan nak berangan macam mak jenin jauh-jauh nak lawan animasi disney ke jepun ke,dari segi teknologi n kecangihan 2D ke 3D animasi mereka, cuba lawan satu benda yang tak perlu modal besar-besar,CERITA!CERITA!CERITA!CERITA!CERITA!CERITA! tak ada satu pun yang boleh buat cerita bagus macam dia orang.Hampeh!!!

  13. Tahniah, saya suka membaca kritikan Saladin Convoy. Kritikan walaupun seburuk mana, jika dinilai utk dilihat secara positif, mampu menaikkan jati diri serta kekuatan pengatahuan. Jangan kerana tidak setuju dengan pandangan, kritikan orangan lain, kita mengherdik dan memperlekeh dan membuat spekulasi tentang pemahaman dan ilmu orang yang memberikan pandangan. Soal diri kita semula dimana kita berdiri dan apa peranan kita. Dengan mengkritik diri individu yang memberikan kritikan, hanya membuktikan keperibadian yang lemah dan pemikiran yang cetek. Kalau kite induvidu yang ilmuan (dengan watikah atau pengalaman hidup) setiap luahan, tuturan ayat menggambarkan diri kita. tak perlu lampirkan resume :)

    Usahakan untuk berjasa pada diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara.

  14. Hmm..rata2 org kata x puas hati dgn Saladin..aku pun begitu juga, terlalu byk hype utk Saladin tapi hasilnya hampeh. Watak2 ala-ala Disney tu terhasil mungkin kerna Pengarah Animasinya atau Animation Directornya orang putih – iaitu Steve Bristow (aussie man). Dan memang x ada peradaban Islam pun dalam Saladin..Wanita x bertudung, tak ada Salam, dan dialog2 Melayu yg kurang sesuai..kenapa jadi begini..mungkin kerna org2 MDEC kena tekanan dari zaman Dr M dulu dan sampai Pak Lah dan sampai DSNTAR pun x habis2 lagi..
    Aku pun x dapat bagi apa2 markah ..cuma yg meyerlah sekarang ialah Upin & Ipin!

  15. salam,agak2 la nk complain pn,kalau krew produksi dngr skit hati diorang,slah dgn Allah bleh mintak maaf,jika dgn manusia,slgi manusia 2 tak maafkan smpai bila2 dosa 2 kamu tanggung.Setiap orang ada kelemahan,xsemua org sempurna.Dari anda duk komen apa kata anda tegakkan syiar Islam,pergi berdakwah dapat la pahala

  16. sekarang animasi saladin disiarkan selama 13 episod kat tv1, tp dalam bahasa inggeris! pasti ramai yg kecewa dgn tindakan RTM ni yg macam tak martabatkan bahasa malaysia. kalau ada kelemahan dlm episod pilot tu masih sempat dibaiki lagi!

    • Aih, pasai apa pulak nak kecewa dengan tindakan RTM? Bukan salah RTM kalau kartun tu sememangnya diterbitkan dalam Bahasa Inggeris. Itu salah produksinya la.

      Apapun, tak ada ka nak komen pasai kartun tu? Ada rasa macam tengah menonton wira Islam tak? Aku rasa macam tengok kartun ala Robin Hood/Ivanhoe/Sandokan atau apa saja wira zaman purbakala yang seangkatan dengannya, dan langsung tak macam watak Salahuddin Al-Ayyubi yang aku kenal. Siap ada unsur² nak tahyul sikit pun ada. Nama Allah atau sebut perkataan “Islam” atau “Muslim” langsung tak ada jugak… setakat aku tengok sampai episod 5-6 macam itu la, episod berikutnya aku tak dapat tengok, dah sibuk kerja balik dah, hehe…

      • Kan ada versi BM…

        …tapi apa nak buat, ini islamofobia kat negara barat punya pasal. Letak harapan tinggi2 terpaksa ‘sell-out’. Pernah tengok Kingdom of Heaven. Watak Saladin berpakaian serba hitam, rupa yang agak menggerunkan seolah2 dia watak jahat. Sampai ada orang akademik kata filem ni umpama sejarah Perang Salib versi Osama bin Laden. Jadi penerbit semestinya tak nak bawak imej macam tu.

  17. saya ada jugak tengok cte ni dan boleh la dikatakan meminatinya kerana inilah tokoh yang sangat saya kagumi.bagaimanapun jika kelak saya mempunyai anak, saya takkan benarkan mereka tengok animasi ni.dalam beberapa episod animasi ni, saya tertanya-tanya begini ke Salahuddin. especeli bila babak dengan anisa.”konfuse”.saya setuju sangat dengan Saladin Convoy bila menyatakan tiada pun unsur-unsur islam yang diterapkan.”Nama Allah atau sebut perkataan “Islam” atau “Muslim” langsung tak ada jugak…”
    hadir disini hanya untuk meluahkan bukan untuk mengkritik.

  18. Assalamalaikum, Sye percaya ramai muslim dlm nie. Tahniah kepada perkongsian sihat kita kerana kite mmpu mengawal diri, alhamdullillah~ Setakat komentar terkini, sye ingin menjemput semua saudara muslimin mengenali Salahuddin – Tokoh Islam ini, bukan melalui animasi & movie (Kingdom of Heven), tetapi melalui sumber2 yg benar; kitab dan buku. Sye menyokong sikiranya lahir sebuah biografy mengenai Tokoh ini, ditulis dari kalangan kita, insyallah~ Jgn kite perturun kn ilmu yg songsang kepada jenerasi kita. Jgn kite sekadar menjadi org Muslimin, tanam dlm diri utk menjadi org Mukminin (beriman).

  19. ye la.. ni komen kononnya sbb apa?? nak ‘pertahankan’ islam.. emm saudara , ada caranya, even mmg betul pun, tp ada CARA yg BETUL utk mengkritik,, tq.. kalau jalan crita saladin kurang islamic,, kritikan anda (pd saya) pun begitu juga atau kata lainnya ‘kritikan kurang islamic’ malah memang, dah bukan kurang .. spt mana prasaan anda skrg ketahuilah, mereka yg tlibat lbih merasainya drp anda :)

    • salam..saya setuju dgn saudari/saudara. saya cuma ingin katakan bahawa, apa yg saladin convoy katakan ada benarnya. tetapi komen yg dileparkan agak keterlaluan. sy adalah peminat siri saladin, sy lihat kualitinya bagus, dan audio hebat. namun, pengisian dlm bntuk islamik kurg diketenghkan. jadi, sy sbg penonton, perlulah bijak mengmbil yg baik dan menjadikan yg buruk dari cerita ini sbg pngajrn.

  20. dah lama tak tulis benda baru dalam blog ni. apa kata ceritakan boboiboy plak? Boboiboy ni animasi baru dr sebahagian pencipta Upin & Ipin (yg keluar dr Les’ Copaque lalu buka studio baru). Kisah adiwira kanak2 yg mampu mengawal unsur tanah, angin dan petir, dan berpecah jadi tiga, bersama kawan2 yg juga berkuasa super melawan ancaman makhluk asing yg memburu biji koko.

  21. salahuddin dikenali sbg saladin kat barat sana…tp,yg musykilnya,knpa jln hdp si saladin nie jauh menyimpang dr rwyt hdp salahuddin ey? salahuddin nie blja pasal ketntraan dr bpak saudara dia (panglima syirkuh)..dh tu,buat mmbrontak plak..sdgkn,salahuddin hdp ikt sunnah rasulullah..mmg menyimpang hbsla..kut ye pn nk buat kartun,selidik dulula riwayat hdp dia…

  22. I have been exploring for a little for any high quality
    articles or weblog posts on this sort of area .
    Exploring in Yahoo I eventually stumbled upon this site.
    Reading this information So i’m happy to convey that I have a very just right uncanny feeling I discovered just what I needed.
    I such a lot unquestionably will make sure to don?t forget this web site and give it a glance on a constant basis.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s