Dipetik daripada filem MAMI JARUM JUNIOR arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen. Babak ini dilakonkan oleh Rita Rudaini sebagai Rita (Mami Jarum Junior), Rosnah Mat Aris sebagai Chombee, Azizah Mahzan sebagai Zaiton, Chik sebagai Chik, dan Ikhzal Azfarel Ideris sebagai Zaid.
Dahulu, memang Fatimah digelar ‘Mami Jarum’, namun setelah keburukan rumah tangga orang yang sering diceritakannya itu turut menimpanya, Fatimah sudah insaf dan bertaubat lalu pergi ke Mekah mengerjakan Umrah (kerana dalam cerita Melayu, orang yang insaf mesti kena pi ke Mekah, heh!). Walau bagaimanapun, kekosongan jawatannya segera diisi oleh anak didiknya, iaitu Rita! Memakai gelaran ‘Mami Jarum Junior’, Rita meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Fatimah.
Memandangkan Rita kini kesendirian, dia berkawan pula dengan Chombee. Walau bagaimanapun Chombee tidaklah pula mengambil alih peranan Fatimah, kerana dia tidak mengata hal orang sepertimana Fatimah. Namun dia juga menjadi mangsa hasutan Rita.
Ya, untuk pengetahuan, Rita lebih ‘jahat’ daripada Fatimah. Kalau Fatimah hanya membawa cerita buruk orang lain, mengumpat mengenai orang lain, berdasarkan fakta atau cakap-cakap orang, Rita pula terang-terang memfitnah dan mengadu domba, apatah lagi melaga-lagakan antara satu sama lain dengan mendakwa bahawa orang tertentu menghina orang tertentu, padahal semua itu rekaan Rita semata-mata. Dan fitnah Rita ini membuatkan pihak-pihak yang dilagakannya betul-betul bergaduh.
Rita melaga-lagakan Datin Nora dan keluarganya dengan Fatimah (mentornya sendiri!) dan keluarganya, memandangkan Datin Nora kini bermadu dengan anak Fatimah iaitu Sheqah. Shafinaz dan Ezad juga berpisah akibat bawaan mulut Rita (tapi memang cinta mereka dah jadi terlarang dah pun, kan kakak Shafinaz dah menikah dengan bapak Ezad?). Chombee sendiri juga bertarik-tarik rambut dengan Bee (adik Fatimah) akibat difitnah oleh Rita.
Orang ramai bertambah meluat dengan Rita, sehingga menggelarkannya sebagai ANDARTU (ANak DARa TUa), memandangkan dalam umurnya yang tidak begitu muda, dia masih belum berkahwin. Hal ini membuatkan Rita menjadi terdesak, lantas mengubah penampilan dirinya, daripada berkebaya dan memakai banyak barang kemas (sepertimana mami-mami tua yang dia berkawan, seperti Fatimah dan Chombee) kepada penampilan yang lebih muda dan daring.
Walaupun begitu, satu perangai Rita yang agak baik lagi mulia ialah, dia tidak jemu-jemu membantu mencarikan calon isteri untuk Zaid, anak lelaki Chombee itu. Entah kenapa dia berbuat demikian, dan entah kenapa dia sendiri tidak mencalonkan dirinya untuk menjadi menantu Chombee, masih menjadi misteri, padahal Zaid seolah sudah memberi hint (bunga) kepada Rita.
Antara yang dicarinya ialah seorang gadis cantik yang mana Rita dan Chombee sendiri pergi ke rumahnya. Malangnya, suara gadis itu seperti jantan, lalu ditolak mereka. Seterusnya, Rita tertarik pula kepada Jasmin, anak kepada Chik, tukang emas yang selalu dikunjungi oleh Rita dan Fatimah, setelah melihat kelibat Jasmin di situ dan terpesona dengan kesopanannya. Lantas dia mengunjungi rumah Chombee dan menceritakan mengenai hal itu. Dan seterusnya, berangkatlah Rita, Chombee dan Zaid ke rumah Chik.
Baca baki entri ini »